GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memberikan kelonggaran kepada masjid serta surau melaksanakan solat Jumaat serta solat lima waktu dengan jumlah jemaah yang ditetapkan sejak Isnin lalu.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penetapan jumlah jemaah itu dibuat berdasarkan perkembangan semasa Covid-19 di negeri ini.

"Berdasarkan kelonggaran baharu, 500 jemaah dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) dan Masjid Tengku Ampuan Jemaah manakala bagi solat lima waktu, 150 jemaah dibenarkan di kedua-dua masjid berkenaan.

"Seramai 300 jemaah pula dibenarkan solat Jumaat di 39 masjid pengurusan serta 17 masjid institusi di negeri ini dan 150 jemaah untuk solat lima waktu," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, bagi solat Jumaat di Kuala Selangor, Sabak Bernam serta Hulu Selangor, jumlah jemaah yang dibenarkan ialah mengikut kapasiti ruang solat dengan penjarakan 1.5 meter manakala untuk solat lima waktu, sebanyak 40 jemaah dibenarkan (termasuk pentadbir).

Katanya, bagi Klang, Petaling, Kuala Langat, Sepang, Hulu Langat dan Gombak, hanya 40 jemaah termasuk pentadbir dibenarkan untuk solat Jumaat serta solat lima waktu.

Menurutnya, semua surau termasuk surau institusi di seluruh negeri ini pula dibenarkan 40 jemaah menunaikan solat lima waktu.

Dalam pada itu, Mohd Shahzihan berkata, semasa perbincangannya dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai kebenaran solat itu semalam, baginda menzahirkan rasa dukacita apabila sesetengah pihak mendakwa masjid dan surau di negeri ini sudah ditutup.

"Baginda juga berdukacita dengan tanggapan segelintir masyarakat bahawa ketetapan dibuat sebelum ini ibarat menghalang umat Islam beribadah di masjid dan surau.

"Secara faktanya, masjid dan surau di Selangor terus dibuka secara berperingkat berdasarkan situasi semasa Covid-19. Bagaimanapun, perkara ini tidak disiarkan oleh media kerana kebenaran berkenaan kerap berubah (mengikut situasi Covid-19 setempat).

"Justeru, baginda mahu kebenaran baharu solat ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh ahli kariah dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan supaya masjid dan surau tidak menjadi tempat cetusan baharu penularan pandemik Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 10:51 AM