KEADAAN kenderaan pacuan empat roda dipandu Mohd Zamri Md Noh yang terbabit kemalangan di ladang kelapa sawit di FELDA Pasoh Tiga. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
KEADAAN kenderaan pacuan empat roda dipandu Mohd Zamri Md Noh yang terbabit kemalangan di ladang kelapa sawit di FELDA Pasoh Tiga. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: "Kami sempat berniaga daging lembu pada sebelah pagi namun tidak disangka ayah 'pergi' meninggalkan kami pada petang itu," ujar Nurul Natasya, 21, anak ketiga Mohd Zamri Md Noh, 48, yang maut akibat kemalangan jalan raya.

Dalam kejadian jam 3 petang semalam, kenderaan pacuan empat roda model Ford Ranger dipandu mangsa terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar pokok kelapa sawit.

Mohd Zamri yang juga penternak lembu dari FELDA Pasoh Tiga di sini, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Jempol.

Nurul Natasya berkata, dia, ibu dan adik beradik lain sempat membantu arwah bapanya berniaga daging berhampiran jalan masuk ke FELDA Pasoh Tiga di sini.

"Arwah ayah kelihatan ceria dan kerap bergurau senda ketika menjual daging. Malah arwah bersama rakan - rakannya turut membantu menarik sebuah kereta yang terbabas ke dalam parit berhampiran ketika sedang menjual daging.

"Sebaik daging lembu habis dijual kira - kira jam 1 tengah hari, ayah ibu dan adik beradik yang lain pergi semula tempat penyembelihan lembu di dalam ladang kepala sawit bagi membersihkan sisa-sisa sembelihan.

Arwah ayah kemudian memandu pacuan empat roda bagi menguruskan sisa sembelihan manakal ibu menunggu di kandang lembu.

"Namun tidak lama kemudian kami dimaklumkan kemalangan menimpa ayah oleh anak saudara yang berlari dari lokasi kemalangan," katanya.

Menurutnya, beberapa hari sebelum kejadian arwah ayahnya turut bercerita dan gembira kerana dapat membeli sebuah rumah di Batu Kikir untuk mereka sekeluarga.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata. mangsa menaiki kenderaan itu bersama anak saudaranya.

"Kedua-dua mangsa dihantar orang awam ke Hospital Jempol bagi mendapatkan rawatan namun mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan hospital berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 3:58 PM