FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


LELAKI warga emas yang tidak pulang ke rumah petang semalam, ditemui mati di dalam ladang kelapa sawit miliknya di FELDA Pasoh Dua di Jempol, malam tadi.

Menurut sumber, mangsa, Mun Talib Sommon, 73, sebelum itu dikatakan keluar dari rumahnya pada 3 petang semalam untuk ke kebun kelapa sawit miliknya di tanah rancangan itu.

Katanya, lelaki berkenaan dipercayai ke kebun bagi menebas dan membersih kebun kelapa sawit itu yang turut terdapat dusun durian di dalamnya.

“Bagaimanapun dia tidak pulang ke rumah selepas 6 petang menyebabkan isterinya risau dan memaklumkan perkara itu kepada jiran.

“Beberapa penduduk kemudian mencarinya dan berjaya menemukan motosikal Honda EX5 miliknya di dalam kebun sawit yang terletak kira-kira 12 kilometer dari rumahnya,” katanya.

Beliau berkata, penduduk turut menemukan jasad lelaki berkenaan dalam keadaan tidak berbaju pada 9.30 malam kira-kira 50 meter dari motosikal.

“Warga emas berkenaan dipercayai menanggalkan baju ketika menebas semak dan dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Arwah turut menghidap penyakit jantung dan tekanan darah rendah berdasarkan rekod kesihatan dan temujanji rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah ( HTAN ), Seremban pada Ogos ini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 6:00 PM