MEOR Fahmi (dua dari kanan) ketika ditemui di Hospital Jempol. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
MEOR Fahmi (dua dari kanan) ketika ditemui di Hospital Jempol. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: "Kali terakhir saya jumpa arwah ayah ketika sambutan Aidilfitri baru - baru ini apabila pulang ke kampung.

"Ayah seorang yang suka bergurau malah dalam gurauannya pernah meminta saya mencari jodoh dengan segera, " kata Meor Fahmi, 24 anak bongsu Sallehuddin Nong, 63 yang maut dalam kemalangan jalan raya pada jam 1.57 tengah hari tadi. Ketika kejadian arwah ayahnya dalam perjalanan pulang dari Tampin ke rumahnya di Felda Jengka 19 selepas menghadiri majlis pertunangan anak saudaranya.

Katanya, arwah menaiki Honda CRV dipandu kakak dan arwah duduk di belakang manakala ibunya di depan.

"Ayah seorang yang pendiam, tegas namun peramah serta pandai bergurau malah disenangi ahli keluarga.

"Saya terkejut apabila dimaklumkan dengan kemalangan itu dalam kumpulan WhatsApp ahli keluarga dan kemudian bergegas dari Seremban ke Hospital Jempol, "katanya yang bekerja di Seremban.

Katanya dia dimaklumkan kakak dan ibunya turut mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Jempol untuk rawatan.

Sementara itu anak saudaranya Muhammad Aliff Rasdan, 28 berkata dia terkejut apabila dimaklumkan kejadian yang menimpa bapa saudara dipanggil Pak Ngah itu.

"Arwah bergurau seperti biasa dan tidak sangka dia terbabit kemalangan yang meragut nyawanya, ketika dimaklumkan kejadian itu saya dalam perjalanan pulang ke rumah di Ayer Keroh manakala arwah sebelum itu pulang awal ke Felda Jengka 19," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata kemalangan di Kilometer 26 Jalan Bahau - Kemayan pada jam 1.57 tengah hari tadi membabitkandua kenderaan iaitu Honda CRV dan Perodua Myvi.

Hoo berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Bandar Seri Jempol menghala ke Sungai Lui manakala Honda CRV dari arah Sungai Lui menuju ke Bandar Seri Jempol.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Honda CRV.

"Polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 8:41 PM