DATUK Mior Faridalathrash Wahid meninjau pelaksanaan projek rintis penambahbaikan sekatan jalan raya (SJR) Op  Covid-19 di Plaza Tol Ipoh Utara Arah Selatan. FOTO Balqis Jazimah Zahari
DATUK Mior Faridalathrash Wahid meninjau pelaksanaan projek rintis penambahbaikan sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 di Plaza Tol Ipoh Utara Arah Selatan. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Perak menjadi negeri perintis dalam melaksanakan pemeriksaan kadar bayaran tol untuk mengenal pasti penyalahgunaan surat kebenaran merentas negeri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mulai esok.

Projek mendapat kerjasama syarikat PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjadikan Plaza Tol Ipoh Utara arah Selatan (Jelapang) sebagai lokasi pertama projek rintis penambahbaikan SJR Op Covid-19.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, inisiatif itu juga memudahkan petugas memeriksa surat kebenaran merentas negeri atau daerah menerusi kadar bayaran tol mereka

"Selepas ini kita tidak lagi menyekat di sekatan jalan raya (SJR) di laluan sekitar tol sekali gus memberi kemudahan kepada orang ramai kerana tidak lagi perlu melakukan pemeriksaan sehingga dua kali.

"Kita akan melihat kesesuaian pelaksanaan projek ini sebelum ianya akan dikembangkan di seluruh susur keluar dan masuk plaza tol utama di negeri ini," katanya pada sidang media di lokasi projek rintis itu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS Mohd Yusuf Abdul Aziz.

Menurutnya, pihaknya mendapati kaedah itu berjalan dengan lancar dan berjaya mengurangkan kesesakan lalu lintas, semalam.

"Setiap lorong tol juga mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), jadi apa yang berlaku antara petugas dan orang ramai dirakam dan dapat mengelak sebarang tohmahan dan sebagainya," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebanyak 117 kenderaan diarah berpatah balik di SJR lebuh raya dan 30 kenderaan di SJR jalan persekutuan sejak 1 Mei hingga semalam.

"Sebanyak 12 kompaun dikeluarkan kepada mereka yang gagal mengemukakan surat kebenaran merentas negeri dan diarahkan berpatah balik di setiap SJR seluruh negeri ini, semalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 6:55 PM