Tinjauan melalui udara di Plaza Tol Bentong mendapati keadaan aliran trafik lancar walaupun ada warga kota yang pulang ke Kampung dengan pelbagai alasan di SJR Tol Bentong. FOTO FATHIL ASRI
Tinjauan melalui udara di Plaza Tol Bentong mendapati keadaan aliran trafik lancar walaupun ada warga kota yang pulang ke Kampung dengan pelbagai alasan di SJR Tol Bentong. FOTO FATHIL ASRI
Muhaamad Hafis Nawawi


Bentong: Melawat tapak projek, ziarah pekerja cedera dan mahu mengagihkan daging korban antara alasan yang dikemukakan pengguna jalan raya yang ingin merentas negeri, menghala ke Pantai Timur hari ini.

Sehingga jam 1 tengah hari, seramai 880 individu dengan 780 kenderaan yang melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) Plaza Tol Bentong menghala ke Kuantan, diperiksa.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, daripada pemeriksaan itu, 39 kenderaan diarahkan berpatah balik kerana tujuan pergerakan yang tidak munasabah, malah menggunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Katanya, pihaknya mengesan masih ada pihak yang 'cuba nasib' menggunakan surat kebenaran pergerakan MITI untuk merentas negeri, meskipun maklum surat itu tidak laku ketika tempoh perayaan Aidiladha.

"Sehubungan itu kita menggesa orang ramai supaya bekerjasama sepenuhnya dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, khususnya bagi tujuan membuat pergerakan rentas negeri dan daerah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Zaiham bersama Timbalannya, Deputi Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman mengiringi Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf yang melawat SJR dan turut memeriksa kenderaan yang menghala Kuantan.

Ramli meluangkan masa hampir satu jam meninjau pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pengguna jalan yang merentas negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 6:30 PM