Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Sebanyak 280 kenderaan yang cuba merentas daerah diarah berpatah balik kerana tidak mempunyai surat kebenaran polis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, jumlah kenderaan itu adalah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa sejak 1 Mei lalu sehingga semalam.

Beliau berkata, masih ada yang cuba nasib untuk merentas daerah namun diarah berpatah balik sebaik melalui tiga sekatan jalan raya (SJR) di daerah ini.

"Bagaimanapun aktiviti merentas negeri tidak berlaku di daerah ini.

"Sepanjang tempoh PKP, kita menerima 11,500 permohonan untuk merentas daerah dan negeri namun daripada jumlah itu, 4,725 permohonan itu ditolak kerana memberi alasan yang tidak munasabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu mengadakan lawatan di SJR Plaza Tol Utara di sini hari ini.

Turut serta Timbalannya, Superintendan Mohd Redzuan Salleh.

AHMAD Shukri (kiri) dan anggotanya memeriksa surat kebenaran merentas daerah dan negeri pengguna jalan raya di Plaza Tol Alor Setar Utara. FOTO Zuliaty Zulkifli.
AHMAD Shukri (kiri) dan anggotanya memeriksa surat kebenaran merentas daerah dan negeri pengguna jalan raya di Plaza Tol Alor Setar Utara. FOTO Zuliaty Zulkifli.

Dalam pada itu, Ahmad Shukri berkata, walaupun pihaknya tidak mengadakan SJR di jalan kampung atau jalan tikus namun pihaknya mengadakan kaedah lain untuk mengenal pasti orang ramai yang dikesan merentas daerah secara curi-curi.

Katanya, pasukan pemantau Covid-19 akan melakukan pemeriksaan mengejut secara bergerak dan sekiranya tidak bernasib baik, individu akan ditahan sekiranya melanggar prosedur operasi standard (SOP).

"Pasukan pemantau bertugas tiga syif bergilir setiap hari untuk memantau pergerakan orang ramai.

"Selain itu, pasukan berkenaan akan melakukan pemantauan dari rumah ke rumah dan sekiranya didapati ada yang dikesan pulang dari daerah atau negeri lain tanpa kebenaran, tindakan kompaun akan dikenakan," katanya.

Ahmad Shukri berkata, pihaknya turut menambah bilangan anggota untuk melakukan pemantauan pergerakan orang ramai.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 2:20 PM