Baharom Bakar


Kuala Berang: Sebanyak 27 kes penipuan timbang buah kelapa sawit dikesan di beberapa negeri membabitkan nilai rampasan berjumlah RM147,500 sejak 16 Mac lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, sebanyak 49 premis timbangan buah kelapa sawit di Perak, Selangor, Johor dan Pahang diperiksa.

Beliau berkata, sebanyak 12 kesalahan direkodkan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) manakala 15 kes di bawah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

"Antara kesalahan dikesan dilakukan premis timbangan buah kelapa sawit adalah alat timbang tidak ditentusahkan sehingga menyebabkan bacaan timbangan tidak tepat, alat timbangan diganggu dengan wayar, tali atau apa-apa objek pada alat timbang menyebabkan timbangan tidak tepat.

"Pemilik premis timbangan turut gagal mengemukakan borang E kepada Inspektor atau syarikat dilantik untuk melaksanakan khidmat penentusahan," katanya kepada media pada majlis Iftar Ramadan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil dan majlis penyerahan dua van jenazah sumbangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di kediamannya di sini, semalam.

ROSOL (tengah) disaksikan Ab Razak (kiri) menyerahkan replika kunci van jenazah kepada jawatankuasa masjid Kampung Bukit Diman dan Kampung Gaung, semalam. FOTO BAHAROM BAKAR.
ROSOL (tengah) disaksikan Ab Razak (kiri) menyerahkan replika kunci van jenazah kepada jawatankuasa masjid Kampung Bukit Diman dan Kampung Gaung, semalam. FOTO BAHAROM BAKAR.

Van jenazah bernilai RM140,000 itu disumbangkan SSM kepada Masjid Kampung Bukit Diman dan Kampung Gaung.

Hadir sama, Pengarah SSM negeri, Ab Razak Isa.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, tumpuan utama ops manipulasi timbang kelapa sawit adalah untuk memastikan alatan timbangan digunakan tepat dengan membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap perkakasan, perisian atau mana-mana komponen sistem digunakan peniaga di pusat pengumpulan dan pembelian buah sawit supaya berada dalam keadaan baik.

Katanya, pemeriksaan untuk memastikan alat timbang itu sudah diuji dan ditentusahkan.

"Pemilik premis dan peniaga di pusat pengumpulan dan pembelian buah sawit yang didapati bersalah melakukan manipulasi timbang sukat boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Timbang Sukat 1972 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan kompaun maksimum tidak melebihi RM40,000 atau denda tidak melebihi RM40,000," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 11:24 AM