Baharom Bakar


Kuala Nerus: Empat pengusaha restoran dan kedai makan dikenakan kompaun RM1,000 atas kegagalan meletakkan tanda harga dan menggunakan timbangan tidak ditentusahkan pada Ops Menu di negeri ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Saharuddin Mohd Kia berkata, dua daripada empat restoran dan kedai makan dikenakan tindakan atas kesalahan tidak meletakkan tanda harga pada menu makanan manakala dua lagi atas kesalahan menggunakan timbangan tidak ditentusahkan bagi tujuan perdagangan.

Katanya, Ops Menu yang berkuat kuasa mulai awal bulan ini adalah inisiatif kerajaan dalam melindungi dan menjaga kebajikan pengguna daripada peniaga yang tidak beretika.

"Skop pemeriksaan Ops Menu adalah di premis yang menjual makanan sedia masak, restoran makanan laut dan kedai makan yang menggunakan atau mengamalkan prinsip timbangan dalam mengenakan caj bayaran.

"Sasaran utama dalam melaksanakan pemeriksaan adalah membabitkan tanda harga dan penggunaan alat timbang dan sukat yang digunakan untuk tujuan perdagangan," katanya kepada media selepas mengetuai Ops Menu di sebuah restoran berhampiran Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir, di sini, hari ini.

SAHARUDDIN (kiri) meninjau harga makanan ketika operasi Ops Menu di sebuah restoran. FOTO Ghazali Kori
SAHARUDDIN (kiri) meninjau harga makanan ketika operasi Ops Menu di sebuah restoran. FOTO Ghazali Kori

Mengulas lanjut, Saharuddin berkata, pengguna disaran berbelanja dengan bijak dan memilih kedai makan serta restoran yang mempamerkan tanda harga dengan jelas serta menggunakan alat timbangan yang masih dalam tempoh sah.

Katanya, KPDNHEP negeri meminta kerjasama pengguna untuk menyalurkan maklumat yang tepat salah laku pengusaha restoran dan kedai makan.

"Pengguna diminta memberi maklumat yang tepat, termasuk nama restoran dan kedai makan serta resit harga bagi memudahkan siasatan dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 8:17 PM