Nabihah Kamal 

 

 

 

Jangan terima saja, sebaik-baiknya periksa hasil timbangan berat durian yang dibeli dan alat penimbang yang digunakan.

 

Itu yang perlu dilakukan penggemar durian bagi mengelak ditipu penjual durian yang mahu mendapatkan untung berlebihan.

 

Sabtu lalu, video berdurasi 41 saat tular menunjukkan anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menimbang sebiji durian menggunakan dua penimbang berbeza di Taman Tun Dr Ismail.

 

Berat asal sebiji durian hanya dua kilogram namun apabila ditimbang ia menjadi lebih tiga kilogram angkara kelicikan peniaga durian.

 

Akhirnya, jualan peniaga itu disita oleh DBKL.

 

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)Kuala Lumpur, Ummi Nasrah Othman berkata, pihaknya mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penipuan seperti itu melaporkan segera kepada KPDNKK.

Antara gerai menjual durian yang diperiksa anggota KPDNKK KL di sekitar Kuala Lumpur Sabtu dan Ahad lalu.
Antara gerai menjual durian yang diperiksa anggota KPDNKK KL di sekitar Kuala Lumpur Sabtu dan Ahad lalu.

 

"Orang ramai boleh membuat aduan di eAduan atau menghubungi talian 1800-88-6800 atau terus ke pejabat KPDNKK. Jadilah pengguna bijak," katanya.

 

Menurutnya, susulan video tular itu sebanyak 52 gerai durian di sekitar Kuala Lumpur diperiksa pihaknya.

 

Katanya, operasi dijalankan selama dua hari bermula Sabtu hingga Ahad lalu.

 

"Lokasi pemeriksaan termasuk di Cheras, Setapak dan Kampung Baru. Operasi Ops Durian itu dijalankan susulan video tular di laman sosial mengenai peniaga durian menggunakan penimbang tipu.

 

"Hasil pemeriksaan mendapati dua gerai gagal mempamerkan tanda harga bagi durian yang dijual manakala dua lagi gerai yang mana penjualnya berusia lingkungan 40 hingga 50-an menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan (tiada pelekat tanda penentusahan).

 

 

"Alat 'Standard Weight' digunakan bagi menentukan ketepatan alat timbang perniaga dan mendapati semua alat timbang yang diuji periksa adalah tepat timbangan," katanya.

 

Susulan itu, Ummi Nasrah berkata, peniaga dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 5:09 PM