BUKIT Malut.  FOTO arkib NSTP
BUKIT Malut. FOTO arkib NSTP
Hamzah Osman / 27apr21


Langkawi: Kerajaan negeri positif isu pemindahan penduduk di kawasan penempatan haram di Bukit Malut di sini, dapat diselesaikan tahun ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkatam ini berikutan perbincangan antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi berkaitan sudah bermula.

"Saya difahamkan MKN sudah mai (datang) di Langkawi ini seminggu atau dua minggu lalu untuk berbincang dengan beberapa agensi berkaitan.

"Saya tidak dijemput, tapi yakin mereka mula berbincang untuk selesaikan isu itu," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa di Masjid Aishah di sini, semalam.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Juhari Bulat; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Firdaus Ahmad dan Pegawai Daerah Langkawi, Saiful Anwar Azmi.

MUHAMMAD Sanusi (kiri) menyampaikan sumbangan sempena Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa. FOTO Hamzah Osman
MUHAMMAD Sanusi (kiri) menyampaikan sumbangan sempena Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa. FOTO Hamzah Osman

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri yakin isu itu dapat diselesaikan dengan mudah kerana ia turut dipersetujui penduduk yang mendiami kawasan itu.

"Perbincangan sudah bermula dan saya difahamkan penduduk Bukit Malut juga bersedia untuk berpindah dari situ," katanya.

Beliau berkata, bagi memudahkan urusan memindah penduduk yang dijangka dilaksanakan tahun ini, pihak berkaitan perlu menyediakan tanah untuk mereka beli secara sah.

"Mereka pun nak yang sah, cuma kita kena sediakan tanah untuk mereka beli sama ada secara sewa beli atau pembelian tunai," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri yakin perbincangan yang diterajui MKN dan dianggotai agensi kerajaan persekutuan itu akan membuahkan hasil positif.

"Bagi pihak kerajan negeri, kita akan permudahkan segala urusan, khususnya berkaitan pengambilan tanah bagi tujuan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 10:42 AM