Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
BERNAMA

Alor Setar: Majlis Mesyuarat Kerajaan Kedah hari ini memutuskan bahawa, tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, ditetapkan pada 20 hingga 23 September ini.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah juga sudah memberi perkenan kepada kerajaan negeri untuk mengadakan persidangan pada tarikh berkenaan.

"Baginda juga berkenan untuk menyampaikan titah perasmian secara 'langsung' dalam talian dari Istana Anak Bukit," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Sementara itu, Muhammad Sanusi turut memaklumkan bahawa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersetuju dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dua hari lalu, untuk menambah jumlah dos vaksin kepada Kedah.

Beliau berkata, MOSTI bersetuju untuk memenuhi permintaannya dalam mesyuarat itu, untuk menambah pemberian vaksin daripada 130,000 dos seminggu kepada 220,000 dos seminggu," katanya.

Dalam pada itu Muhammad Sanusi berkata semua Pegawai Daerah, diarahkan untuk segera memproses pendaftaran penduduk yang belum mendaftar sebagai penerima vaksin, melalui semua kaedah termasuk secara manual menggunakan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), masjid dan penghulu.

"Semua JPKK diminta memainkan peranan masing-masing, untuk mempercepatkan proses pendaftaran dan vaksinasi melalui apa-apa kaedah yang diputuskan, oleh Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) setiap daerah," katanya.

Beliau berkata proses vaksinasi secara 'outreach' juga akan dilaksanakan di semua daerah.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi berkata Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bukit Malut, Langkawi berjalan lancar, dengan kerjasama semua agensi penguatkuasa.

Beliau berkata selain PKPD, penduduk kawasan itu akan didaftarkan sebagai penerima vaksin di khemah khas, dalam kawasan penempatan mereka dan proses vaksinasi juga akan dibuat segera kepada penduduk dalam penempatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 8:06 PM