Noorazura Abdul Rahman


KERAJAAN negeri Kedah sedang menunggu kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memindahkan penduduk Melayu Islam Kedah (MIK) di Bukit Malut ke lokasi baharu di Langkawi.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya sudah mengemukakan kertas kerja kepada MKN bagi memindahkan mereka ke lokasi baharu yang belum dapat didedahkan lagi.

"Saya sudah menghantar satu pihak untuk berbincang dengan MKN mengenai kertas kerja untuk memindahkan komuniti MIK ini, mereka ini mempunyai kad pengenalan dan warganegara Malaysia.

"Saya yakin MKN akan bersetuju dengan kertas cadangan kita, lokasi penempatan baharu mereka masih di sekitar Langkawi cuma lokasi tepat masih perlu dirahsiakan buat sementara waktu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Star View Menara Alor Setar di Alor Setar, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, proses pemindahan perlu dilakukan bagi mengembalikan tanah rizab kerajaan antaranya milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) yang diduduki secara berleluasa sejak sekian lama.

Katanya, kerajaan negeri kini bergantung sepenuhnya kepada keputusan MKN kerana lokasi baharu penempatan mereka sudah disediakan.

"Kita akan pindahkan mereka yang merupakan warganegara sahaja, bukan pendatang asing tanpa izin (PATI), saya nak tegaskan mereka ini bukan kebal, perkara ini memang tak selesai dari dahulu.

"Itu kita kena tanya pemerintah terdahulu kenapa ia berlarutan, tapi kerajaan sekarang kita ada inisiatif untuk pindahkan mereka ke tempat yang lebih tersusun," katanya.

KEPADATAN kediaman penduduk di Bukit Malut. FOTO Amran Hamid
KEPADATAN kediaman penduduk di Bukit Malut. FOTO Amran Hamid

BH hari ini, melaporkan kawasan penemptan Bukit Malut didapati semakin membesar selepas terdapat lereng bukit diratakan bagi tujuan pembinaan rumah baharu.

Turut dikesan pembinaan dua bangunan rumah kedai yang dipercayai dibina tanpa kebenaran pihak berkuasa berikutan tidak mempunyai papan tanda projek di laluan masuk utama Bukit Malut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 4:13 PM