PEMANDANGAN dari udara kepadatan kediaman penduduk di Bukit Malut. FOTO arkib NSTP
PEMANDANGAN dari udara kepadatan kediaman penduduk di Bukit Malut. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan negeri akan menyelesaikan isu penempatan Melayu Islam Kedah (MIK) di negeri ini terutama di Bukit Malut, Langkawi dan di Kuala Sala, Yan yang berlarutan sejak sekian lama.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya akan berbincang bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mencari jalan penyelesaian terbaik agar penempatan terbabit tidak terus menjadi tempat longgokan sampah dan memberi masalah kepada penduduk tempatan.

"Bagi penempatan MIK di Kuala Sala, Yan, mereka bina rumah di tanah rizab laut, perkara ini akan diselesaikan dari semasa ke semasa dan saya akan berurusan dengan MKN untuk menyelesaikan masalah ini.

"Sudah lama masalah ini berlarutan, kita tak tahu bila ia akan selesai, saya harap ketika saya jadi Menteri Besar ketika ini dapat diselesaikan kerana kita kena buat atau tidak buat langsung," katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Kedah di Sri Mentaloon di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan terdapat kira-kira 80 rumah dengan lebih 400 penduduk diragui status kewarganegaraan mendiami kawasan pantai berdekatan Kampung Seberang Jaya, Kuala Sala, dipercayai sejak 20 tahun lalu.

Kawasan itu dipercayai menjadi antara lokasi mendarat pendatang Myanmar ke Semenanjung selepas menjadikan Bukit Malut di Langkawi sebagai tempat transit mereka.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi menjelaskan bahawa penduduk MIK di Kuala Sala mempunyai kad pengenalan dan adalah warga negara Malaysia.

Katanya, penduduk MIK di Kuala Sala adalah sama dengan penduduk MIK di Bukit Malut.

"Mereka ini keturunan yang sama di Bukit Malut, cuma sekarang ini mereka bawa budaya hidup Burma ke sini walaupun sudah berpuluh tahun tinggal di sini, cara hidup tidak berubah dan suka buang sampah merata.

"Selagi mereka boleh jalan dan lalu di kawasan rumah mereka, mereka akan buang sampah ikut suka, jadi yang ini kita mahu mereka ubah, mereka mesti buang sampah di kawasan yang dibenarkan dan tidak mengganggu orang lain," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, dalam masa yang sama kerajaan negeri sudah meluluskan peruntukkan sebanyak RM89,000 untuk membersihkan kawasan pantai yang mengalami masalah longgokan sampah di Kuala Sala.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 4:59 PM