TAKIYUDDIN ketika sidang media selepas Program Malaysia Prihatin di Dewan Gemilang.FOTO Noorazura Abdul Rahman
TAKIYUDDIN ketika sidang media selepas Program Malaysia Prihatin di Dewan Gemilang.FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman

Sik: Kerajaan yakin pihak polis akan menjalankan siasatan secara profesional tanpa menyebelahi mana-mana pihak berhubung isu rakaman audio yang didakwa mirip suara Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada polis berikutan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sudah mengeluarkan kenyataan akan memanggil pihak berkaitan untuk memberi keterangan.

"Pertama saya Menteri Undang-Undang, tugas saya membuat undang-undang, (tetapi) menguat kuasa undang-undang itu kementerian lain.

"Kita serah kepada pihak berkaitan, setiap perkara yang berlaku ini ada tanggungjawab tertentu, misalnya kalau kes itu bersifat jenayah maka pihak polis akan jalankan siasatan.

"Ketua Polis Negara sudah nyatakan dia akan siasat dan panggil pihak yang terlibat. Saya yakin pihak berkuasa menjalankan tugas dengan profesional tanpa memihak, tanpa sebelahi mana-mana pihak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin di Dewan Gemilang, di sini, hari ini.

Pada 7 April lalu, satu rakaman audio didakwa mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar tular di media sosial, namun kedua-dua pemimpin terbabit menafikan ada kaitan dengan rakaman berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 1:20 PM