Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Wujud perbezaan pandangan dalam Umno susulan tersebarnya audio perbualan yang didakwa suara Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak Rabu lalu.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ada ahli parti itu yang percaya mengenai audio berkenaan tetapi ada juga yang menyatakan ia sebagai palsu.

"Setakat ini saya tak berani dan tak mahu kata (audio) pecah belahkan parti tetapi perbezaan pandangan (dalam parti) itu ada. Ada yang nyatakan ia betul, ada pula yang nyatakan ia palsu.

"Yang terbaik adalah polis jalankan siasatan. Laporan polis sudah dibuat oleh beberapa ahli Umno dan semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata kertas siasatan akan dibuka berkenaan isu itu.

"Jadi kita harap pihak polis segera keluar dengan keputusan siasatannya dan apabila keputusan keluar nanti, saya percaya apa jua spekulasi dan perbezaan pandangan nanti akan dapat kita selesaikan.

"Apabila kita tahu (audio) betul atau tidak, maka tidak akan ada apa-apa spekulasi lagi nanti," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Bangkit 15, di sini, hari ini.

ISMAIL Sabri ketika sidang media pada Program Bangkit 15. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ISMAIL Sabri ketika sidang media pada Program Bangkit 15. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Turut hadir, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Rabu lalu, sebuah portal berita mendedahkan audio perbualan telefon yang didakwa membabitkan Ahmad Zahid dengan Anwar.

Audio yang tular itu didakwa berlaku beberapa jam selepas Ahmad Zahid menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Agung Umno (PAU) 2020, hujung bulan lalu.

Dalam pada itu, ditanya mengenai gesaan ahli Umno yang mahukan Ahmad Zahid berundur, Ismail Sabri berkata, setiap ahli bebas mengeluarkan pandangan memandangkan parti itu bersifat demokrasi.

"Saya percaya setiap ahli bebas mengeluarkan pandangan dan kita tidak pernah sekat pandangan sesiapa pun sejak dulu lagi kerana ia adalah cara Umno.

"Terserah kepada ahli nak cakap apa saja kerana pada akhirnya nanti terserah kepada kita di peringkat tertinggi untuk membuat keputusan sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 1:51 PM