SHAHRIR Samad. FOTO Arkib NSTP
SHAHRIR Samad. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menjadi 'poster boy' Barisan Nasional (BN) diminta sama-sama mengambil tanggungjawab atas prestasi buruk parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad berkata, apatah lagi, Ismail Sabri adalah Perdana Menteri yang membubarkan Dewan Rakyat selepas membentangkan Bajet 2023 yang tidak dibahas.

Shahrir yang juga Ketua Bahagian Umno Johor Bahru berkata, dalam tempoh PRU-15, Ismail Sabri juga adalah Perdana Menteri Sementara.

"Buat video pula. Perlu ke. Takkan bila menang, jadi Perdana Menteri. Bila kalah, orang lain yang salah.

"Sambil itu, 'poster boy' BN juga, iaitu kalau BN menang, akan jadi Perdana Menteri.

"Tapi BN kalah, dan Ismail letakkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden Umno. Ambiklah sikit 'share'," katanya dalam muat naik di akaun Facebook semalam.

Pandangan Shahrir itu susulan Ismail Sabri semalam, dilaporkan meminta Ahmad Zahid supaya mendengar pandangan dan desakan akar umbi termasuk Ketua Bahagian Umno yang mahukan beliau berundur demi masa depan parti.

Pandangan Ismail Sabri itu dinyatakan dalam temubual video ekslusif kepada NSTP semalam.

Dalam pada itu, Shahrir menimbulkan persoalan mengapa hanya Presiden Umno yang harus 'besar hati' menerima tanggungjawab kekalahan parti.

Katanya, Datuk Seri Najib Razak semasa PRU-14 adalah Perdana Menteri dan juga Presiden.

"Namun pada PRU-15, Ahmad Zahid ialah Presiden manakala Ismail Sabri adalah Perdana Menteri.

"Kalau pun Ismail Sabri yang berjawatan Perdana Menteri dan berkedudukan 'poster boy' tidak langsung ada impak dalam PRU-15 ini sehingga BN kalah, tapi tetap Ismail Sabri 'ada saham' dalam prestasi BN juga.

"Takkan bila menang, jadi Perdana Menteri. Bila kalah, orang lain yang salah. Steadylah sikit. Kita tinggal 30 sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 2:33 PM