Noor Hidayah Tanzizi


Pangkor: Lebih 900 pegawai pemantau harga (PPH) yang berkerja secara kontrak di Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membantu penguat kuasa kementerian melakukan pemantauan harga barang di premis perniagaan serta bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kesemua PPH di 72 Enforcement Command Centre (ECC) itu akan membantu lebih 2,000 penguat kuasa kementerian yang digerakkan untuk melakukan pemantauan itu.

"Kita memerlukan kerjasama semua pihak, jadi Pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan dan semua (termasuk orang awam) kalau boleh bantulah untuk sama-sama memantau kenaikan harga barangan keperluan.

"Kita memantau harga barang bukan sekadar pada musim perayaan saja dan kita sentiasa di lapangan sepenuh masa. Pegawai akan memberi laporan kepada Majlis Harga Barangan Negara (MHBN)," katanya selepas melancarkan program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan, di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, KPDNHEP menggerakkan lebih 2,000 penguat kuasa bagi memantau harga barang di bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negara secara agresif.

Selain dua lokasi berkenaan, pemantauan dan pemeriksaan turut dilaksanakan di pasar awam, pasar basah, pasar raya besar, pasar mini dan kedai runcit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 2:46 PM
 Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tengah) hadir melancarkan program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Initiative - ReDI) di Arena Pekan Pangkor, Pulau Pangkor, hari ini. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tengah) hadir melancarkan program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Initiative - ReDI) di Arena Pekan Pangkor, Pulau Pangkor, hari ini. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI