SUASANA bazar Ramadan di Presint 3 Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
SUASANA bazar Ramadan di Presint 3 Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kurang berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pengunjung dan peniaga di bazar Ramadan, Presint 3 di sini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, hari kedua Ramadan menyaksikan minat orang ramai untuk berkunjung meningkat.

Katanya, buat masa ini pihaknya masih belum menerima sebarang aduan, namun kementerian itu sudah membuat pemantauan bagi mengelak kemunculan kluster baharu dalam kalangan pengunjung dan peniaga.

"Saya sudah meninjau keadaan bazar Ramadan ini, namun kurang berpuas hati dengan pematuhan SOP pengunjung dan peniaga," katanya kepada media ketika hadir melancarkan Ops Pantau di bazar Ramadan Presint 3 di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Rosol Wahid dan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasanol Zam Zam.

Ops Pantau ini diadakan di seluruh negara dengan lokasi tumpuan seperti di bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, hypermarket, mini market dan kedai runcit.

Pada masa sama, Alexander berkata, sepanjang Ramadan ini pengguna tidak perlu bimbang kerana KPDNHEP dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memberi jaminan bekalan barangan harian mencukupi.

Katanya, pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan berkenaan kenaikan harga ayam sebagaimana yang dilaporkan media.

"Bagaimanapun, kita sudah menerima laporan daripada penguatkuasa mengatakan kenaikan harga ayam itu tidak sama seperti yang dilaporkan orang ramai.

"Harga ayam itu ada kenaikan sedikit, namun masih dalam kawalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 9:28 PM