NAJIB tiba di perkarangan mahkamah bagi mendengar rayuan sabitan dan hukuman penjara terhadap beliau berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd. FOTO Mohd Fadli Hamzah
NAJIB tiba di perkarangan mahkamah bagi mendengar rayuan sabitan dan hukuman penjara terhadap beliau berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd. FOTO Mohd Fadli Hamzah
BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu hanya ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low boleh menjelaskan mengapa dana SRC International Sdn Bhd dimasukkan ke akaun bank Datuk Seri Najib Razak.

Peguam bekas perdana menteri itu Harvinderjit Singh berkata demikian ketika ditanya oleh Hakim Datuk Abdul Karim tentang mengapa wang jutaan ringgit tersebut dipindahkan ke akaun Najib.

Abdul Karim: Mengapa wang RM5 juta dan RM27 juta dimasukkan ke akaun Najib?

Harvinderjit: Hanya Jho Low yang dapat menjawab perkara itu. Namun, kami boleh maklumkan kepada mahkamah bahawa wang RM27 juta itu dimasukkan ke dalam akaun Najib kerana Joana Yu Ging Ping (bekas pengurus perhubungan AmBank) memberitahu baki dalam akaun tidak mencukupi.

Abdul Karim yang mendengar rayuan itu bersama-sama hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin, juga bertanya kepada Harvinderjit tentang pembabitan Jho Low dalam SRC International memandangkan lelaki itu tidak mempunyai jawatan dalam syarikat terbabit pada masa berkenaan.

Abdul Karim: Jho Low (bukan) pegawai dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan SRC. Bila Jho Low terlibat? Namun, kamu beritahu Jho Low memberi arahan kepada Joana Yu, yang beliau berhubung dengan Jho Low. Tiba-tiba sahaja Jho Low timbul?

Harvinderjit: Sebab Jho Low disebut ialah kerana cek. Jho Low boleh pindahkan wang keluar daripada SRC menerusi bekas Pengarah SRC Terence Geh.

Abdul Karim: Adakah kamu mengatakan bahawa arwah Datuk Azlin Alias (bekas ketua setiausaha sulit Najib) tidak ada kena mengena dengan perkara itu? Semuanya dilakukan oleh Jho Low?

Harvinderjit: Ya. Azlin meninggal dunia dalam nahas helikopter pada April, 2015.

Harvinderjit juga menghujahkan bahawa Jho Low terlibat dalam jejak kewangan berbelit itu yang melibatkan akaun SRC, Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB), Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) dan Najib.

Kata peguam tersebut, Jho Low serta beberapa individu lagi terlibat dalam pemindahan wang membabitkan akaun Najib, dan bekas perdana menteri itu tidak mengetahui tentangnya.

"Mengapa perdana menteri dengan sengaja mengambil wang daripda sebuah syarikat berkaitan kerajaan dan memasukkan wang itu dalam akaun beliau?" kata peguam tersebut.

Pada 28 Julai tahun lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati beliau bersalah terhadap tujuh tuduhan membabitkan pecah amanah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International.

Pendengaran rayuan itu bersambung

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 5:01 PM