NAJIB (dua dari kanan) ketika hadir di mahkamah, hari ini. FOTO Supian Ahmad
NAJIB (dua dari kanan) ketika hadir di mahkamah, hari ini. FOTO Supian Ahmad
Murni Wan Omar


BEKAS Pengurus Perhubungan Ambank, Joaana Yu Ging Ping mengakui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low ada memberitahunya bahawa Datuk Seri Najib Razak enggan menutup akaun AmBank miliknya.

Beliau berkata demikian ketika disoal peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib dalam prosiding perbicaraan kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapi oleh bekas perdana menteri itu.

Di dalam prosiding semalam, Yu dirujuk oleh Harvinderjit kepada log perbualan telefonnya dengan Jho Low pada 20 Disember 2014.

Sebelum ini, Yu ada memberitahu mahkamah bahawa bekas Pengarah Urusan AmBank, R Ashok memintanya menutup akaun milik Najib.

Menurutnya, Ashok ada memberi amaran berhubung akaun Najib yang disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Selain itu, akaun Najib sering tidak cukup dana dan pihak bank perlu menunggu baki mencukupi sebelum boleh menunaikan cek.

Sementara itu, menjawab soalan Harvinderjit, Yu mengakui bahawa beliau mula ragu dengan tindakan Jho Low apabila Ashok memintanya menutup akaun milik Najib.

HARVINDERJIT: Setuju dengan saya bahawa ketika berurusan dengan Jho Low, kamu mempunyai keraguan bahawa beliau (Jho Low) tidak berkomunikasi dengan Najib?

YU: Saya akan merujuk kepada bekas Pengarah Urusan Ambank, Cheah Tek Kuang.

HARVINDERJIT: Kamu sebenarnya keberatan untuk berurusan dengan Jho Low dalam perkara membabitkan akaun Najib?

YU: Ya.

HARVINDERJIT: Dan ketika itu kamu tidak berasa apa apa sehinggalah pada penghujung tahun 2014 hingga 2015?

YU: Ya selepas kami memberitahu Jho Low untuk menutup akaun Najib.

HARVINDERJIT: Apa yang diberitahu Jho Low adalah sekadar mahu membuat kamu percaya dengannya?

YU: Pada saya Cheah pasti memeriksa akaun itu kerana saya percaya mereka berkomunikasi antara satu sama lain.

Sementara itu, mahkamah menetapkan 13 Ogos depan untuk mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk menuntut Najib memohon maaf kepada mahkamah kerana menyiarkan paparan di Facebook berhubung keterangan saksi membabitkan penggunaan kad kredit miliknya.

Peguam Negara Tommy Thomas dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung hari ini.

Terdahulu Harvinderjit memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memerlukan satu jam lagi untuk menyoal Yu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 8:09 PM