Yu hadir ke Mahkamah Tinggi bagi menyambung perbicaraan kes SRC International.
Yu hadir ke Mahkamah Tinggi bagi menyambung perbicaraan kes SRC International.
Murni Wan Omar


AHLI perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low didakwa bertegas tidak membenarkan penyata kad kredit milik Datuk Seri Najib Razak dihantar ke rumah bekas Perdana Menteri itu, sebaliknya ia boleh diambil sendiri oleh mereka.

Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joaana Yu Ging Ping berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Harvinderjit Singh ketika prosiding perbicaraan kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dihadapi Najib, 66.

Terdahulu, Yu dirujuk kepada e-mel antara dirinya dengan Jho Low yang berlaku sekitar 2011.

 Najib di  mahkamah, semalam.
Najib di mahkamah, semalam.

Yu mengakui Jho Low memberitahunya penyata kad kredit itu tidak boleh dihantar ke rumah Najib kerana ia dokumen sensitif, sebaliknya mereka akan mengambilnya di bank.

HARVINDERJIT: Jho Low berkeras hal ini?

YU: Ya, dan pemegang mandat akaun Najib juga. (Dalam keterangan sebelum ini, Yu memberitahu mahkamah bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil adalah pemegang mandat akaun Najib)

Sementara itu, Yu mengakui Jho Low meminta beliau memadam log perbualan mereka yang dibuat melalui BlackBerry Messenger (BBM).

Bagaimanapun, selepas perbualan itu (log perbualan bertarikh 3 Mac 2015), Yu berkata, beliau tidak memadamnya kerana tidak tahu bagaimana mahu melakukannya.

Menjawab soalan Harvinderjit, Yu mengakui Jho Low dan Nik Faisal mengarahkan AmBank menyembunyikan nama Najib ketika urusan transaksi bank.

Yu berkata, kedua-dua mereka mengarahkan nama Najib tidak didedahkan setiap kali ada dana wang memasuki akaunnya.

HARVINDERJIT: Ada Jho Low beritahu kenapa akaun dibuka? Ada beliau maklumkan bahawa Najib menunggu sumbangan dari Arab Saudi?

YU: Beliau maklumkan Najib menunggu pemindahan masuk dana. Bagaimanapun saya tidak ingat sama ada ia sumbangan atau tidak.

HARVINDERJIT: Saya cadangkan kepada kamu tujuan akaun itu dibuka adalah bagi membolehkan Najib menerima derma atas sumbangan beliau dalam Islam.

YU: Saya hanya tahu mengenai perkara itu kemudian.

Terdahulu, Yu memberitahu mahkamah Jho Low tidak suka apabila Ketua Pegawai Eksekutif AmBank, R Ashok mengemukakan isu transaksi akaun bank Najib itu kepada Lembaga Pengarah.

Yu berkata demikian ketika menjawab soalan Harvinderjit berhubung log perbualan antara beliau dan Jho Low pada Oktober 2014.

HARVINDERJIT: Ashok membawa isu itu ke Lembaga Pengarah dan Jho Low tidak gembira mengenai hal ini?

YU: Ya, dia bertanya kenapa akaun itu dibawa kepada Lembaga Pengarah.

HARVINDERJIT: Jika ini sumbangan hadiah, ia tidak menjadi isu?

YU: Pihak bank masih memerlukan laporan berhubung perkara itu.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Isnin depan selepas pihak pembelaan memohon mereka diberi masa meneliti dokumen yang baru diserahkan pihak pendakwaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 6:10 AM