NAJIB Razak di Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan kes SRC International. FOTO Eizairi Shamsudin
NAJIB Razak di Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan kes SRC International. FOTO Eizairi Shamsudin
Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpurdiberitahu bahawa panggilan ‘Big Boss’ ketika perbualan melalui BlackBerry Messenger (BBM) dengan ahli perniagaan yang menghilangkan diri, Low Taek Jho adalah merujuk kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Perkara itu diberitahu saksi ke-54, bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joaana Yu Ging Ping, 48, ketika menjawab soalan oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib.

Harvinderjit merujuk kepada Yu berhubung perbualan BBM pada Mei 2014 yang terdapat perkataan ‘Big Boss.’

HARVINDERJIT: Dalam perbualan ini ada beritahu ‘duit dollar Amerika Syarikat 15 American Pies akan masuk’.

YU: Ya sebenarnya ketika itu ‘Big Boss’ kepada Jho Low baru sahaja menghubunginya (Jho Low).

HARVINDERJIT: Siapa ‘big boss’ dalam perbualan BBM ini?

YU: Pemegang akaun (Najib). Saya tidak tahu siapa sebenarnya ‘bos’ yang lebih besar.

HARVINDERJIT: Terima kasih.

Jawapan Yu itu menyebabkan mereka yang berada dalam mahkamah termasuk Najib, ketawa.

Sementara itu, Yu mengakui bahawa beliau enggan mengikut arahan Jho Low yang memintanya memusnahkan buku cek membabitkan dua akaun semasa milik Najib yang sudah ditutup pada 2013.

HARVINDERJIT: Apabila buku cek Najib dipulangkan kepada anda, adakah Jho Low mengarahkan kamu memusnahkannya?

YU: Itu arahannya.

HARVINDERJIT: Tetapi anda tidak berbuat demikian?

YU: Saya tidak akan musnahkannya. Buat apa mahu musnahkan, hanya pulangkan kepada cawangan (bank).

Terdahulu, ketika dirujuk log perbualan telefon, Yu mengakui bahawa Jho Low merujuk AS Dollar sebagai ‘pie’ manakala Ringgit Malaysia sebagai ‘sate’ dalam menguruskan transaksi akaun Najib.

Beliau berkata demikian ketika Harvinderjit merujuk kepadanya perbualan melalui BlackBerry Messenger (BBM) berhubung arahan daripada Jho Low untuk memindahkan dana RM50 juta ke dalam tiga akaun milik Najib.

Harvinderjit merujuk kepada Jho Low yang menukar RM50 juta itu kepada 50 sate manakala pie merujuk kepada pemulangan semula wang AS$620 juta (wang derma yang dipulangkan semula.

Yu dalam keterangannya mengakui bahawa beliau lebih banyak berinteraksi dengan Jho Low berbanding dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil.

Prosiding dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 9:46 PM