JOAANA Yu hadir pada perbicaraan Najib berhubung ke penyelewengan dana SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria.
JOAANA Yu hadir pada perbicaraan Najib berhubung ke penyelewengan dana SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria.
Murni Wan Omar


BEKAS Pengurus Perhubungan AmBank, Joaana Yu Ging Ping mengakui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini beliau dan pasukannya ditawarkan bekerja oleh ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low dengan gaji RM60,000 sebulan.

Bagaimanapun, Yu yang menjadi saksi ke-54 dalam prosiding bicara kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau menolak tawaran itu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib.

Soalan Harvinderjit itu merujuk kepada perbualan Yu dengan Jho Low melalui BlackBerry Messenger (BBM) bertarikh 24 November 2013.

Dalam kandungan perbualan BBM itu, Jho Low berkata kepada Yu bahawa beliau mahu mencari individu yang boleh dipercayai untuk dilantik menjadi Ketua Pegawai Kewangan untuk SRC International Sdn Bhd.

Jho Low ada bertanya sama ada beliau boleh mengambil salah seorang individu bernama Daniel untuk bekerja dengannya.

HARVINDERJIT: Adakah Jho Low merujuk kepada Daniel Lee (juga salah seorang pekerja di AmBank dan satu pasukan dengan Yu).

YU: Ya, saya rasa begitu. Sebenarnya Jho Low mahu mengambil kami semua, tetapi kami tidak mahu.

HARVINDERJIT: Adakah Jho Low menawarkan kerja di 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada kamu dengan gaji sebulan berjumlah RM60,000?

YU: Ya tetapi saya tidak mahu bekerja dengannya.

Sementara itu, menjawab soalan Harvinderjit, Yu mengakui bahawa Jho Low memperdayakannya dengan mengatakan wang RM27 juta yang masuk ke dalam akaun milik Najib adalah derma daripada kerabat diraja.

HARVINDERJIT: Saya cadangkan sebenarnya, Jho Low menipu kamu dengan mengatakan bahawa wang RM27 juta itu adalah derma daripada kerabat diraja?

YU: Ya.

HARVINDERJIT: Sebenarnya wang itu adalah daripada SRC International Sdn bhd?

YU: Ya.

Terdahulu, Yu bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa Jho Low memintanya menipu bagi tujuan untuk menunaikan tiga draf bank berjumlah RM139 juta daripada akaun milik SRC International pada Julai 2014.

Beliau berkata, draf bank itu sepatutnya digunakan untuk membayar Putra Perdana Construction Sdn Bhd bagi pihak Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Yu berkata, ya apabila Harvinderjit mencadangkan bahawa Jho Low meminta beliau ‘mereka cerita’ berhubung draf bank untuk AmBank dan Public Bank.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 7:52 PM