JOANNA Yu hadir pada perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International dihadapi Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Aizuddin Saad.
JOANNA Yu hadir pada perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International dihadapi Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Aizuddin Saad.
Murni Wan Omar


SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beliau menggunakan wang miliknya sendiri berjumlah RM55,000 bagi memastikan akaun bank milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengikut keperluan bank pada 2014.

Saksi ke-54, bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joaana Yu Ging Ping, 48, berkata perkara itu berlaku pada September 2014 apabila salah satu akaun milik Najib terlebih pengeluaran wang tanpa baki mencukupi.

Menurutnya, terdapat cek RM80,000 dikeluarkan daripada akaun AmBank milik Najib yang berakhir dengan nombor 906 sedangkan baki ketika itu tidak mencukupi dan bimbang cek akan ditendang.

Yu berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Harvinderjit Singh yang merujuk perbualannya dengan setiausaha kepada ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low melalui BlackBerry Messenger (BBM).

Beliau memberi keterangan dalam perbicaraan kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapi Najib, 66.

HARVINDERJIT: Selepas baki itu tidak mencukupi anda menghubungi Jho Low untuk memaklumkan perkara itu. Jho Low memaklumkan supaya menghubungi Kee Kok Thiam untuk mendapatkan wang itu, bagaimanapun gagal selepas Kee berada di Melaka. Anda kemudian diminta menghubungi Josie (setiausaha Jho Low) dan beliau juga tiada. Jadinya wang RM55,000 itu bukan datang dari Kee atau Josie?

YU: Saya tidak ingat.

HARVINDERJIT: Saya cadangkan ia datang dari kamu dan Josie membayarnya keesokan hari?

YU: Boleh jadi begitu.

HARVINDERJIT: (Merujuk kepada perbualan melalui BBM Yu dengan Josie) Terdapat perbualan kamu mengucapkan terima kasih kepada Josie kerana membayar kembali duit itu?

YU: Ya.

Sementara itu, Yu mengesahkan wang dalam jumlah yang banyak masuk ke dalam dua akaun milik Najib antara 2014 dan 2015 walaupun amaran sudah dikeluarkan supaya tidak berbuat demikian berikutan bimbang transaksi yang mencurigakan.

Beliau mendakwa Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil dan Jho Low tidak mengendahkan amaran itu.

HARVINDERJIT: Kamu ada memaklumkan berhubung masalah dihadapi dan kemungkinan akaun akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001, tetapi mereka tidak mengendahkan?

YU: Sama ada mereka mengambil kisah atau tidak, saya tidak tahu.

HARVINDERJIT: Tetapi mereka tidak mengikut arahan itu?

YU: Mereka tetap memasukkan duit.

Menjawab soalan Harvinderjit, Yu bersetuju jumlah wang tunai dipindah masuk ke dalam dua akaun milik Najib itu berjumlah RM12.4 juta.

HARVINDERJIT: Semua transaksi ini dilakukan atas arahan Jho Low?

YU: Beliau terbabit.

HARVINDERJIT: Deposit tunai terdesak adalah bagi memastikan akaun sentiasa aktif?

YU: Ya.

HARVINDERJIT: Mereka tidak mematuhi amaran kamu?

YU: Ya.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 7:45 PM