KEADAAN sungai di Kampung Permatang Tepi Laut di sini, yang dipercayai tercemar dengan air kumbahan dan sampah sarap sejak beberapa tahun lalu. FOTO ihsan CAP
KEADAAN sungai di Kampung Permatang Tepi Laut di sini, yang dipercayai tercemar dengan air kumbahan dan sampah sarap sejak beberapa tahun lalu. FOTO ihsan CAP
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Masalah pencemaran sungai di Kampung Permatang Tepi Laut, di sini, yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu menyebabkan sumber rezeki kira-kira 200 nelayan pantai terancam.

Berikutan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera.

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata, masalah itu dipercayai berpunca daripada air kumbahan dan sampah sarap yang dibuang sebelum dibawa arus ke laut.

Katanya, selain membabitkan alam sekitar, pencemaran itu turut mengancam hidupan di kawasan tangkapan mereka.

"Nelayan mendakwa masalah pencemarann itu berpunca daripada tindakan penduduk dan pemilik premis perniagaan di kawasan sekitar membuang sisa kotoran termasuk sampah ke dalam sungai.

"Akibat itu, hidupan laut yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan diancam kepupusan dan berkurangan sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan pantai," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tinjauan CAP mendapati kejadian itu menyebabkan air sungai di kampung berkenaan keruh, berkeladak dan berbau busuk manakala di kawasan pantai pula dipenuhi sampah sarap.

Mohideen berkata, enjin bot nelayan juga kerap mengalami kerosakan kerana tersangkut pada sampah ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan.

Malah nelayan juga mendakwa, mereka turut mengalami gatal pada kulit apabila terkena air yang tercemar oleh buangan itu.

"Nelayan turut mendakwa sampel air sungai sudah diambil beberapa kali oleh pihak berkaitan bagi diuji, tetapi hingga kini keputusan ujian itu tidak diketahui.

"CAP kesal dengan keadaan ini, walaupun sudah lama berlaku tetapi masih tiada tindakan diambil pihak berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 4:38 PM