Sisa dan najis babi yang mengalir ke Sungai Sembilang, Pantai Acheh. FOTO IHSAN CAP
Sisa dan najis babi yang mengalir ke Sungai Sembilang, Pantai Acheh. FOTO IHSAN CAP
Zuhainy Zulkiffli


Balik Pulau: Tindakan pengusaha ternakan babi di Pantai Acheh, di sini, yang dipercayai membuang sisa najis haiwan itu ke dalam sungai dan laut berhampiran dibimbangi menyumbang berlaku pencemaran.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata, sisa najis babi dari Sungai Sembilang yang mengalir terus ke laut menimbulkan bau terlalu busuk terutama pada waktu malam sehingga mengganggu aktiviti penangkapan ikan oleh nelayan di perairan itu.

Katanya, CAP percaya jika masalah itu dibiarkan berterusan, ia boleh menjejaskan alam sekitar, hidupan laut dan sumber pendapatan nelayan dengan lebih serius pada masa akan datang.

"Ikan, udang, ketam, kerang dan siput yang menjadi sumber tangkapan utama sejak turun-temurun sudah berkurangan dan hasil pendapatan nelayan merosot sebanyak 50 peratus sejak beberapa tahun lalu.

"Dalam tinjauan CAP di Kuala Sungai Pinang pula, nelayan mendakwa mereka turut berdepan dengan masalah pembuangan sisa dari kolam ternakan udang berhampiran," katanya menerusi kenyataan, hari ini

Menurut Mohideen, kedua-dua tindakan itu boleh menyebabkan air sungai dan laut tercemar sehingga menjejaskan pembiakan hidupan marin serta menjejaskan sumber pendapatan kira-kira 300 nelayan pantai.

Katanya, ratusan ekar kawasan hutan paya bakau dari Kuala Jalan Baru hingga Pantai Acheh sudah musnah dijadikan kolam ternakan udang sekali gus mengancam tempat pembiakan hidupan laut berkenaan.

"CAP sudah beberapa kali mengemukakan masalah berkenaan kepada pihak berwajib kerana bimbang kesan buruk yang bakal berlaku.

"Justeru, CAP berharap pihak berkaitan memberi perhatian serius kerana kesannya boleh menggugat sektor perikanan dan ekonomi negara," katanya.

Kawasan ternakan babi yang dipercayai mengalirkan sisa najis ternakan itu ke dalam sungai dan laut berhampiran.
Kawasan ternakan babi yang dipercayai mengalirkan sisa najis ternakan itu ke dalam sungai dan laut berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 2:24 PM