Nur Saliawati Salberi


SEKUMPULAN nelayan di Kampung Tanjung Kling, Melaka gusar selepas mereka mendakwa berlakunya pencemaran sisa arang batu dipercayai dibuang daripada sebuah kapal sejak beberapa hari lalu.

Difahamkan, kapal arang batu berkenaan dipercayai dari negara jiran dan berlabuh di perairan berhampiran Pengkalan Nelayan Kampung Tanjung Kling sebelum menurunkan muatan di Pelabuhan Tanjung Beruas untuk dibawa ke Negeri Sembilan.

Dikatakan, perkara itu berlarutan sudah lama namun nelayan tiada bukti kukuh sehingga semalam apabila terserempak dengan kapal muatan api berkenaan.

Nelayan Aziz Japar, 54, berkata, sebelum ini nelayan sudah mengesyaki apabila melihat kesan pencemaran tompokan minyak hitam dibawa arus ombak tetapi tiada bukti.

Katanya, disebabkan jarak antara pesisir pantai dan tempat kapal berkenaan berlabuh, nelayan sukar mengenal pasti punca berkenaan datang dari mana.

“Semalam ketika keluar menangkap ikan ada nelayan terserempak dan merakam operasi kapal itu.

“Hasil daripada video diperoleh didapati berlakunya pembuangan sisa arang batu ke laut,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Nelayan Kampung Tanjung Kling hari ini.

Md Deris Salleh, 66, mendakwa, akibat pembuangan sisa arang batu berkenaan ia bukan saja mencemarkan air dan menjejaskan ekosistem hidupan laut.

“Perkara ini tidak seharusnya berlaku dan mereka sepatutnya mempunyai cara untuk melupuskan sisa buangan.

“Kami nelayan mencari rezeki di laut, jika berterusan berlaku pendapatan terjejas malah jaring turut bertukar hitam berminyak,” katanya.

Sementara itu, Exco Pertanian Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani negeri Norhizam Hassan Baktee berkata, pihaknya sudah melakukan siasatan ke atas kapal terbabit dan didapati berlakunya pencemaran seperti didakwa.

“Saya sudah arahkan Jabatan Laut dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan kapten dan anak kapal bagi membantu siasatan.

“Jika didapati berlaku pencemaran tindak tegas akan diambil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 7:18 PM
Aziz menunjukkan kapal yang dipercayai membuang sisa muatan arang batu ke laut berhampiran Jeti Nelayan Tanjung Keling manakala gambar kecil arang batu yang dikesan. FOTO Khairunisah Lokman
Aziz menunjukkan kapal yang dipercayai membuang sisa muatan arang batu ke laut berhampiran Jeti Nelayan Tanjung Keling manakala gambar kecil arang batu yang dikesan. FOTO Khairunisah Lokman