Pangkalan nelayan yang terjejas akibat pencemaran dan pembuangan sampah di perairan Pulau Jerejak, di sini. FOTO IHSAN CAP
Pangkalan nelayan yang terjejas akibat pencemaran dan pembuangan sampah di perairan Pulau Jerejak, di sini. FOTO IHSAN CAP
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang dan membakar sampah di sekitar perairan Pulau Jerejak, di sini.

Tindakan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi turut mencemarkan alam sekitar di kawasan berkenaan.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya menerima aduan daripada nelayan tempatan yang mendakwa bahawa perbuatan itu sudah lama berlaku.

Menurutnya, sehingga kini tiada tindakan diambil daripada mana-mana pihak berkuasa bagi mengatasinya.

"Bahan buangan terutama plastik secara tidak langsung menjejaskan aktiviti tangkapan nelayan tempatan.

"Selain kipas bot mengalami kerosakan, nelayan mendakwa pukat mereka turut tersangkut dengan pelbagai jenis bahan buangan atau sampah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, CAP menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut Malaysia (JLM) menyiasat perkara itu termasuk mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.

"Jika masalah ini dibiarkan, bukan sahaja mencemarkan alam sekitar dengan lebih serius, tetapi juga akan mengancam hidupan marin dan keselamatan nelayan tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 4:04 PM