Yap (dua dari kiri) dan Wang diiringi polis ketika dihadapkan ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan kes pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim Kim di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim
Yap (dua dari kiri) dan Wang diiringi polis ketika dihadapkan ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan kes pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim Kim di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mary Victoria Dass


SEBUAH kilang memproses tayar terpakai di Pasir Gudang serta dua pengarahnya berdepan sebanyak 45 pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.

Syarikat, P Tech Resources Sdn Bhd; warga Singapura, Wang Jing Chao, 34 dan warga tempatan, Yap Yoke Liang, 42, masing-masing menghadapi 15 pertuduhan.

Ia termasuk tujuh pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan lapan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara bersih) 2014.

Wang dan Yap serta syarikat P Tech Resources yang diwakili kedua-dua Orang Kena Saman (OKS) itu mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan mohon dibicarakan.

Bagi tujuh pertuduhan pertama, Wang, Yap dan kilang berkenaan didakwa gagal membuat pemberitahuan berkaitan pembuangan bahan terjadual seperti ditetapkan di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 12.25 tengah hari, 11 Mac lalu di P Tech Resources Sdn Bhd beralamat di PLO 113, Jalan Nibong 2, Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Bagi lapan pertuduhan membabitkan pencemaran udara bersih, Wang, Yap dan syarikat berkenaan didakwa gagal menjalankan pemantauan berkala di bawah peraturan sama.

Kesalahan itu turut dilakukan kedua-duanya di tempat, masa dan tarikh yang sama dan kedua-duanya boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Hakim Jailani Rahman membenarkan semua tertuduh diikat jamin dengan RM15,000 bagi setiap pertuduhan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara bersih) 2014 dan RM3,000 bagi setiap pertuduhan mengikut Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Jaminan keseluruhan ditetapkan adalah RM423,000.

Jailani juga menetapkan syarat tambahan kepada Wang iaitu dibenarkan diikat jamin dengan seorang penjamin warga Malaysia, selain mendaftar di Balai Polis Pasir Gudang setiap 1 hari bulan sehingga prosiding kes berkenaan tamat.

Pendakwaan dikendalilan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Md Kamal dan Farra Nor Azura Jumuddin, manakala kedua-dua OKS diwakili peguam G Subramaniam Nair.

Terdahulu, Subramaniam memohon mahkamah menetapkan jaminan rendah bagi kesemua OKS kerana menanggung keluarga termasuk isteri dan anak.

Malah Subramaniam menyatakan anak guamnya memberi kerjasama untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun, Muhammad Asyraf mencadangkan jaminan lebih tinggi berikutan peruntukan hukuman bagi semua pertuduhan adalah tinggi.

Jailani juga menetapkan 30 April sebagai tarikh sebutan semula.

Prosiding pendakwaan ke atas dua pengarah kilang memproses tayar terpakai yang sepatutnya dijalankan di Mahkamah Sesyen, petang semalam, terpaksa ditangguhkan ke hari ini akibat masalah teknikal dan kesuntukan masa.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 4:34 PM