Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob  (dua kiri)  selepas menerima suntikan dos kedua vaksin diiringi Amar Nik (tiga kiri) ketika hadir pada Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Negeri Kelantan di  Dewan Jamuan Utama, SUK Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (dua kiri) selepas menerima suntikan dos kedua vaksin diiringi Amar Nik (tiga kiri) ketika hadir pada Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Jamuan Utama, SUK Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Pembinaan empangan hidroelektrik di perkampungan Orang Asli di Nenggiri, Gua Musang mampu mengurangkan kadar caj perkhidmatan elektrik dan mengelak bencana banjir.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, projek berkenaan dicadangkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menjana kuasa elektrik dan pada masa sama kadar elektrik juga boleh diturunkan.

"Dari sudut kepentingan negeri, kita melihat ia (empangan) untuk mengatasi masalah banjir kerana empangan ini boleh mengumpulkan air dan mengurangkan risiko banjir di negeri ini.

"Kita juga boleh manfaatkan untuk sektor pertanian dan kegunaan domestik," katanya ketika ditemui pada Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas bantahan Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, perkara itu sebenarnya sudah selesai dan tiada isu berbangkit termasuk perancangan penempatan semula penduduk di kawasan berkenaan.

"TNB, Pejabat Tanah dan Jajahan serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sudah turun berbincang dengan penduduk yang sudah bersetuju untuk berpindah.

"Kawasan yang kita cadangkan untuk penempatan (baru) juga sudah dipersetujui dan perkara itu sebenarnya tidak berbangkit.

"Saya hairan bila timbul isu ini dan bila dapat maklumat, ia usaha yang dibuat oleh Jaringan (JKOAK)," katanya.

Terdahulu, media melaporkan lebih 3,000 penduduk Orang Asli manandatangani memorandum bantahan projek pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 5:42 PM