MAHDZIR bersama Saarani (tiga kanan) pada Program Ceria ke Sekolah anjuran TNB. FOTO Sharul Hafiz Zam.
MAHDZIR bersama Saarani (tiga kanan) pada Program Ceria ke Sekolah anjuran TNB. FOTO Sharul Hafiz Zam.
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan mengadakan perjumpaan dengan pihak berkepentingan untuk berunding berhubung isu bantahan penduduk terhadap projek pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan.

Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, rundingan bersama pihak Jabatan (Jakoa) termasuk pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) itu bertujuan memberi memberi penerangan lebih jelas berhubung perkara itu.

Menurutnya, projek yang sudah dirancang sejak lapan tahun lalu sudah diambil kira daripada semua aspek kepentingan penduduk sebelum diluluskan tahun ini.

"Projek ini sebenarnya sudah dirancang kira-kira lapan tahun lalu dan diluluskan tahun ini, jadi sudah tentulah salah satu komponen yang diambil kira oleh TNB ialah penduduk dan masyarakat orang asli yang ada di sana.

"Perancangan dan semua maklumat berkaitan berapa banyak penduduk dan keluasan tanah sudah ada dibincangkan di dalam mesyuarat bersama pihak Jakoa sebelum ini.

"Jadi, biarlah pengurusan TNB berunding dengan pihak yang berkaitan seperti Suhakam, Insya Allah kita akan berjumpa dengan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan dan menyerahkan replika cek sejumlah RM380,000 pada Majlis Penyerahan Sumbangan Program Sumbangan CSR TNB 'Ceria Ke Sekolah' Peringkat Negeri Perak di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Terdahulu, media melaporkan lebih 3,000 penduduk Orang Asli menandatangani memorandum bantahan projek pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang yang dijangka dilaksanakan kerajaan dan TNB mulai Mac tahun hadapan.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Mustafa Along dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, projek berkenaan harus dibatalkan sejak awal lagi kerana boleh menjejaskan kehidupan komuniti itu.

Ia didakwa akan memberi kesan yang teruk kepada empat buah penempatan orang asli secara langsung iaitu Pos Tohoi, Pos Pulat, Kampung Wias dan Kampung Bering.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 6:32 PM