GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kota Bharu: Pembinaan empangan hidroelektrik di Nenggiri, Gua Musang yang dijangka beroperasi pada 2026, bakal menyalurkan 300 megawatt (MW) kepada Grid Nasional apabila ia siap kelak.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Ir Baharin Din berkata, projek bernilai RM5 bilion itu, bukan sahaja menyokong aspirasi kerajaan ke arah meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE), malah membawa pelbagai manfaat dalam menyelesaikan beberapa isu demi kesejahteraan rakyat Kelantan.

Katanya, selain membantu mengurangkan banjir, ia juga berupaya membantu Kelantan mengatasi isu pembekalan air bersih serta pengairan untuk pertanian, dan membuka peluang pekerjaan serta ekonomi baru di tasik takungan utamanya.

"TNB melaksanakan kesemua kerja awalan dan kajian yang diperlukan untuk membangunkan projek ini, dan memperoleh semua kelulusan yang diperlukan seperti Kajian Potensi Mineral, Kajian Penerimaan Awam, Kajian Impak Alam Sekeliling (EIA), Kajian Impak Sosial, Kajian Impak Warisan, dan sebagainya.

"Air yang ditakung dalam tasik takungan utamanya akan dilepaskan semula secara terkawal ke dalam Sungai Nenggiri, dan ini dapat membantu mengawal banjir di hilir empangan itu.

"Sebagaimana empangan lain milik TNB seperti di Skim Hidroeletrik Cameron Highlands, Sungai Perak dan Kenyir, empangan Nenggiri bakal memberi manfaat tebatan banjir dengan keupayaan menampung jumlah air hujan yang besar, semasa musim tengkujuh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ir Baharin berkata, apabila empangan hidroelektrik Nenggiri siap kelak, ia dapat mengukuhkan usaha TNB memastikan bekalan elektrik yang stabil untuk rakyat dan menjadi penggerak utama peralihan industri tenaga negara.

"Projek ini menyokong aspirasi tenaga lestari TNB menuju ke arah pelepasan sifar bersih menjelang 2050, yang dipacu oleh komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 35 peratus, serta pengurangan 50 peratus kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035.

"Justeru, ia menyokong aspirasi kerajaan ke arah meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga hijau negara kepada 40 peratus pada 2035," katanya.

Untuk rekod, kapasiti penjanaan elektrik TNB di Semenanjung ketika ini merangkumi 18.0 peratus hidroelektrik (2,536 MW), 0.6 peratus solar (80 MW), 48.2 peratus arang batu (6,800 MW) dan 33.3 peratus gas (4,702.43 MW).

Ir Baharin juga menyifatkan projek ini sebagai satu amanah kepada rakyat terutama peranan dan komitmen TNB terhadap alam sekitar.

Katanya, komuniti Orang Asli yang terbabit secara langsung dengan projek ini, khususnya dari Pos Pulat, PosTohoi dan Kg. Wias, akan dipindahkan ke penempatan baharu dengan infrastruktur dan keperluan asas yang lebih baik dan selesa.

"Mereka juga akan diberikan pakej rangsangan ekonomi untuk meningkatkan sosioekonomi mereka dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan, Pejabat Tanah dan Jajahan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan jabatan-jabatan kerajaan yang lain," katanya.

Pada 2 November lalu, satu majlis pertukaran dokumen perjanjian projek itu dan penyerahan cek pampasan di Pejabat Menteri Besar Kelantan diadakan, di sini, yang dihadiri Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 1:58 PM