ANGGOTA polis memeriksa setiap kenderaan yang melepasi sekatan jalan raya (SJR) di Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad.
ANGGOTA polis memeriksa setiap kenderaan yang melepasi sekatan jalan raya (SJR) di Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 253 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi operasi pematuhan di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada keseluruhan tangkapan, seramai 231 individu dikompaun manakala 22 individu direman.

"Kesalahan tertinggi direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (75), tidak memakai pelitup muka (61) dan aktiviti perjudian (52).

"Kesalahan lain adalah rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (37), tiada penjarakan fizikal (21), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (6) dan tiada dokumen pengenalan diri (1)," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 72,547 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP semalam.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seramai enam pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan selain tujuh kenderaan darat dirampas menerusi Operasi Benteng semalam.

"Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 87 bot dan kapal di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan. Pada masa sama, seramai enam Pati turut diusir melalui dua aktiviti pengusiran.

"Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang melaksanakan saringan wajib pekerja asing pula melaporkan seramai 15,997 warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, 37 orang didapati positif," katanya.

Sementara itu, katanya, seramai 625 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara, semalam.

"Sejak 24 Julai 2020, seramai 130,115 individu pulang ke tanah air dan kesemuanya ditempatkan di 76 hotel serta 13 institut latihan awam (ILA) termasuk institut pengajian swasta di seluruh negara.

"Seramai 7,901 individu dikuarantin dan secara kumulatifnya, seramai 121,525 orang dibenarkan pulang manakala 689 lagi dibawa ke hospital," katanya.

Beliau berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut melakukan 53 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 733 pemantauan, semalam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 6:16 PM