ISMAIL Sabri. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 286 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi operasi pematuhan di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada keseluruhan tangkapan, seramai 284 dikenakan tindakan kompaun manakala dua lagi direman.

"Kesalahan tertinggi direkodkan adalah gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis membabitkan 125 individu manakala 22 individu terbabit aktiviti pusat hiburan.

"Kesalahan lain adalah tidak memakai pelitup muka (54), tiada penjarakan fizikal (49) dan lain-lain (36)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, tiga pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan selain lima kenderaan darat dirampas menerusi Operasi Benteng.

Dalam operasi sama, katanya, sebanyak 175 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan.

Mengenai perkembangan lain, beliau berkata, seramai 1,769 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara, semalam.

Katanya, secara kumulatif sejak 24 Julai 2020, seramai 191,168 individu pulang ke tanah air dan kesemuanya ditempatkan di 73 hotel serta sembilan institut latihan awam (ILA) termasuk institut pengajian swasta di seluruh negara.

"Kementerian Sumber Manusia (KSM) pula memaklumkan seramai 691,513 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 35,730 majikan.

"Daripada jumlah itu, seramai 10,235 orang disahkan positif Covid-19 manakala 681,278 lagi negatif. Sehingga kini, sebanyak 1,544 klinik terbabit program saringan ini," katanya.

Tambah beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut membuat 704 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan, semalam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 6:42 PM