GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Melaka: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka mengeluarkan 19 notis pengesahan harga jualan serta kos kepada 19 premis menjual peranti elektronik seperti komputer riba, telefon bimbit dan tablet dalam tempoh 25 Januari lalu hingga semalam.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, notis berkenaan dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kerana peniaga terbabit disyaki menaikkan harga jualan peranti elektronik berkenaan yang kini mendapat permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat ekoran pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Walaupun secara keseluruhan harga barangan elektronik berkenaan didakwa meningkat di seluruh negara khususnya di ibu kota tetapi di Melaka harga berkenaan masih dalam kawalan kerana anggota dan pegawai KPDNHEP sentiasa melaksanakan pemantauan secara berkala.

"Setakat ini, 19 premis jualan barangan elektronik di sekitar negeri ini khususnya di daerah Melaka Tengah akan dipantau secara lebih kerap kerana disyaki sengaja menaikkan harga sesuka hati untuk mengaut keuntungan," katanya selepas Walkabout Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2021 di sebuah pasar raya di Peringgit di sini, hari ini.

NORENA (kiri) melakukan pemeriksaan stok minyak masak sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2021 di sebuah pasaraya di Peringgit. FOTO BERNAMA
NORENA (kiri) melakukan pemeriksaan stok minyak masak sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2021 di sebuah pasaraya di Peringgit. FOTO BERNAMA

Beliau berkata peniaga terbabit perlu memberikan maklumat terperinci tentang harga jualan dan harga kos peranti elektronik yang dijual untuk tujuan analisis dan tindakan lanjut akan diambil sekiranya mereka dikesan sengaja menaikkan harga jualan.

Katanya, peniaga yang sabit kesalahan boleh didenda hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan boleh didenda hingga RM500,000 mengikut AKHAP 2011.

Dalam perkembangan lain, Norena berkata, sebanyak 17 kes membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Akta KPDNHEP dengan nilai rampasan sebanyak RM15,781.15 dikesan dalam tempoh 1 Januari hingga semalam.

Beliau berkata daripada jumlah itu, ia membabitkan lima kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (empat kes) dan masing-masing tiga kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999 selain Akta Perihal Dagangan 2011 (dua kes).

"Selain itu, tiga premis menjual pakaian masing-masing didenda RM1,000 kerana beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 5:52 PM