MOHD Hairul meninjau premis perniagaan di Pasar Awam Larkin. FOTO Ihsan KPDNHEP.
MOHD Hairul meninjau premis perniagaan di Pasar Awam Larkin. FOTO Ihsan KPDNHEP.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seramai 42 peniaga di negeri ini dikompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, sejak pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), minggu lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, kesemua peniaga berkenaan dikompaun kerana menjual barangan keperluan melebihi harga kawalan selain tidak meletakkan tanda harga.

"Sebanyak 33 kes daripada kompaun itu adalah kesalahan tidak meletakkan tanda harga, manakala sembilan lagi menjual melebihi harga kawalan yang ditetapkan.

"Sejak pelaksanaan SHMMP, minggu lalu, KPDNHEP Johor melakukan sebanyak 1,226 pemeriksaan membabitkan 1,201 di peringkat peruncit dan 25 di peringkat pemborong," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mohd Hairul turut meninjau 150 premis perniagaan di Pasar Awam Larkin membabitkan penjual ayam, ikan, daging, sayuran dan kedai runcit bagi memastikan harga barangan kawalan dijual mengikut SHMMP.

Mengulas lanjut, Mohd Hairul berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi SHMMP.

Katanya, KPDNHEP akan memperhebatkan pemantauan di seluruh negeri ini bagi mengelakkan peniaga memanipulasi harga dan menganiaya pengguna.

"Mengikut Akta Kawalan Harga dan

Antipencatutan 2011 peniaga yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum membabitkan individu; boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

"Syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh didenda maksimum RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

"Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal pula individu; boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000.

"Sementara syarikat yang tidak meletak tanda harga barang kawalan boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000," katanya.

Beliau berkata, peniaga di negeri ini dinasihatkan untuk tidak melakukan kesalahan berikutan pemantauan akan terus diperhebatkan menjelang Aidilfitri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 4:02 PM