Amir Mamat

Melaka: Harga siling RM19.90 tetapi peniaga farmasi di sini, dikesan menjual kit ujian pantas (RTK) Antigen Covid-19 hampir sekali ganda lebih mahal.

Susulan itu Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, pihaknya membuka siasatan dan memberikan notis mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 ke atas peniaga di Durian Tunggal itu.

Katanya, peniaga berkenaan dikesan menjual alat saringan RTK pada harga RM34, berbanding harga maksimum yang diwartakan kerajaan pada 5 September lalu.

"Premisnya adalah sebuah daripada daripada 86 peruncit dan pemborong yang dikunjungi penguat kuasa ketika operasi pemantauan di sekitar negeri ini sejak 5 September lalu sehingga semalam.

"Operasi dilaksana bagi memastikan tiada peniaga yang ingkar dengan menjual alat saringan pada harga mahal," katanya ditemui selepas mengetuai operasi di beberapa farmasi hari ini.

Norena meminta pengguna yang mengetahui mana-mana peniaga ingkar supaya menyalurkan aduan kepada pihaknya menerusi talian 1-800-886-800, emel [email protected], Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-88826088/ 6245 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 019-2794317.

Dalam pada itu, beliau memuji peniaga yang mematuhi peraturan bahkan ada yang menjual alat yang menjadi barang keperluan ketika tempoh pandemik di bawah harga siling.

"Ada yang menjual kit RTK dengan harga RM14.90, ia sangat murah dan di bawah harga borong.

"Saya berterima kasih kepada peniaga berkenaan kerana mereka yang jelas memahami hasrat kerajaan untuk membantu pengguna, bersama-sama mengurangkan bebanan ditanggung ketika ini," katanya.

Kerajaan mengumumkan harga jualan runcit maksimum bagi setiap set RTK Antigen Covid-19 adalah RM19.90, manakala harga borong pada RM16, berkuat kuasa 5 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 4:58 PM
NORENA (kanan) memeriksa harga jualan bagi kit ujian Covid-19 ketika Pemeriksaan Harga Kawalan Covid-19 Self Test Kit (Kit Ujian Pantas Antigen Penyakit Koronavirus 2019) secara mengejut oleh anggota KPDNHEP di farmasi di Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
NORENA (kanan) memeriksa harga jualan bagi kit ujian Covid-19 ketika Pemeriksaan Harga Kawalan Covid-19 Self Test Kit (Kit Ujian Pantas Antigen Penyakit Koronavirus 2019) secara mengejut oleh anggota KPDNHEP di farmasi di Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad