Nuraliawati Sabri

Melaka: Empat pengusaha ikan bakar dikenakan tindakan dalam pemeriksaan Op Menu yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri ini sejak 6 November sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Pembangunan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem berkata, menerusi operasi itu, tiga kesalahan dikesan membabitkan alat timbang tamat tempoh manakala satu lagi tidak pamerkan tanda harga.

"Bagi kes membabitkan alat penimbang tamat tempoh, pihak berkuasa mengeluarkan satu kompaun serta-merta berjumlah RM300 manakala dua lagi dibuka kertas siasatan untuk dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

"Bagi kesalahan tidak mempamerkan tanda harga pula, peniaga dikompaun RM300," katanya pada sidang media selepas Merasmikan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) Peringkat negeri yang turut dihadiri Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar, hari ini.

HEE Sem meninjau harga kawalan sayur bersama KPDNHEP ketika Pelaksanaan Pengumuman Penentuan Harga Maksimum Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia Peringkat. FOTO Syafeeq Ahmad
HEE Sem meninjau harga kawalan sayur bersama KPDNHEP ketika Pelaksanaan Pengumuman Penentuan Harga Maksimum Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia Peringkat. FOTO Syafeeq Ahmad

Hee Sem berkata, bagi kesalahan alat penimbang tamat tempoh, notis dikeluarkan mengikut Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 manakala kesalahan tidak pamer tanda harga pula mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

"Op Menu yang dijalankan ini antaranya memberi tumpuan kepada restoran dan premis makanan dengan memeriksa tanda harga yang dipamerkan selain alat timbang bagi menentukan harga makanan," katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP juga turut mengeluarkan 109 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) kepada peniaga bermula Januari hingga semalam.

"Daripada jumlah itu 32 berkaitan harga ayam, 20 untuk telur dan bakinya membabitkan perubahan harga sayur.

"Sejak Januari hingga semalam juga KPDNHEP hanya menerima enam aduan membabitkan kenaikan harga telur dan ayam manakala untuk sayur tiada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 4:27 PM