etua Polis Jempol Superintendan Hoo Chang Hook ( kiri ) bersama bersama timbalannya, Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor ( dua dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas dalam SJR di Taman Sornam, semalam. FOTO ABNOR HAMIZAM
etua Polis Jempol Superintendan Hoo Chang Hook ( kiri ) bersama bersama timbalannya, Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor ( dua dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas dalam SJR di Taman Sornam, semalam. FOTO ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Gelisah dan panik ketika cuba melepasi Sekatan Jalan Raya ( SJR), akhirnya membongkar tindakan seorang pemandu lori yang diupah membawa muatan 500 karton rokok seludup.

Dalam kejadian jam 1.30 petang tadi, suspek berusia 26 tahun itu didakwa memandu lori 3 tan ketika berbaris untuk melepasi SJR di Taman Sornam, Bahau di sini.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, tindak tanduk suspek terbabit mendatangkan rasa curiga sebelum muatan lori itu diperiksa.

Menurutnya, polis kemudian menemui 28 kotak berisi 500 karton pelbagai jenama rokok seludup.

"Suspek yang disoal siasat mendakwa menerima panggilan daripada seorang lelaki dikenali sebagai 'bos' yang mengarahkannya mengambil lori itu yang ditinggalkan di Batu 21, Kulai, Johor.

"Suspek kemudian memandu lori itu sebelum pergi ke Kajang, Selangor. Dalam perjalanan ke Kajang, suspek mendapati tiada muatan di dalam lori dipandu itu," katanya.

Menurutnya, dia kemudian diarah meninggalkan lori bersama kunci kenderaan itu di hadapan deretan kedai makan.

"Suspek kemudian diarahkan mengambil semula lori itu 45 minit kemudian sebelum diarah menuju ke Seremban dan Bahau," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol di sini.

Menurutnya, siasatan polis mendapati suspek diupah membawa lori sejak dua bulan membabitkan lokasi penghantaran sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

"Suspek juga mendakwa hanya menerima arahan lelaki dikenali 'bos' melalui panggilan telefon selain menerima gaji harian RM270," katanya.

Chang Hook berkata, suspek mengaku sudah melakukan 20 kali penghantaran rokok seludup ke Kuala Lumpur.

"Rokok seludup yang dirampas ini diangarkan bernilai RM70,000. Suspek kini ditahan reman empat hari bermula bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 5:50 PM