GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Polis terpaksa melepaskan 10 das tembakan bagi memberhentikan sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun yang dipercayai di bawah pengaruh dadah dalam kejadian pada jam 12.25 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata kejadian bermula selepas lori dipandu suspek tiba-tiba membuat pusingan u di garisan berkempen berikutan ada sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 9 Jalan Bahau-Kemayan.

Katanya, tindakan suspek itu kemudian menyebabkan berlaku kemalangan dengan sebuah motosikal ditunggang lelaki berusia 40 tahun.

"Sebaik melanggar motosikal berkenaan, suspek melarikan diri sebelum anggota polis mengejar lori berkenaan.

"Ketika melarikan diri, suspek memandu dalam keadaan merbahaya dan cuba menghimpit beberapa kali motosikal ditunggang anggota polis trafik dan hampir melanggarnya malah tindakan suspek hampir melanggar pengguna jalan raya lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hoo berkata melihat keadaan bahaya dicetuskan pemandu lori itu, polis melepaskan 10 das tembakan pada bahagian tayar bagi memberhentikan lori berkenaan namun suspek enggan sebaliknya terus memandu lorinya dalam keadaan tayar yang sudah pecah.

Bagaimanapun, katanya selepas 50 kilometer dikejar, suspek akhirnya berjaya ditangkap berhampiran sebuah ladang kelapa sawit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman selama dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2024 @ 5:37 PM