RAMPASAN rokok seludup di sebuah stor berhampiran sebuah rumah yang dirampas oleh cawangan Perisikan dan siasatan khas Bukit Aman FOTO Nik Abdullah Nik Omar
RAMPASAN rokok seludup di sebuah stor berhampiran sebuah rumah yang dirampas oleh cawangan Perisikan dan siasatan khas Bukit Aman FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Sebuah lori membawa muatan 7,000 karton rokok seludup diekori sejauh kira-kira 300 kilometer (km) dari Kemaman, Terengganu sehingga Peringat di sini, sebelum ditahan di sebuah stor di Kampung Padang Mokan jam 8.20 pagi semalam.

Lori dipandu anggota sindiket penyeluduoan itu diekori anggota Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Bukit Aman.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tiga lelaki berusia 23 hingga 47 tahun yang juga pemilik stor, pemandu lori dan tonto ditahan pada serbuan iktu.

"Lori itu turut diiringi sebuah kereta dipandu suspek yang bertindak sebagai tonto.

"Lori terbabit ditahan ketika anggota sindiket memunggah kotak rokok ke stor itu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut beliau, stor terbabit milik seorang daripada suspek dan aktiviti penyeludupan rokok untuk pasaran Kelantan itu sudah berjalan sebanyak tiga kali sejak Mei lalu.

Muhamad Zaki berkata, keseluruhan rokok terbabit bernilai kira-kira RM350,000.

Polis turut menyita lori serta serta dua kenderaan milik sindiket.

"Hasil ujian air kencing, ketiga-tiga suspek negatif dadah malah tiada rekod jenayah lampau.

"Suspek akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 1:04 PM