FOTO Ihsan Selangor Royal Office
FOTO Ihsan Selangor Royal Office
Ruwaida Md Zain


SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengingatkan umat Islam di Selangor meraikan sambutan perayaan Aidiladha dengan sederhana dalam suasana negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19.

Menurut Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berharap sekalian rakyat terus waspada dengan garis panduan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam yang menyambutnya di negeri Selangor.

"Baginda berdua sentiasa mendoakan seluruh rakyat dijauhi dari malapetaka dan bala bencana dan semoga wabak Covid-19 ini dapat dihapuskan.

"Baginda turut menyeru supaya umat Islam menjalankan ibadah korban kali ini dengan tertib dan berhemah sebagaimana yang digariskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)," katanya.

Titah baginda juga, semoga dengan tertunainya ibadah korban dan hikmah memperingati Aidiladha, umat Islam terutamanya dapat menjadi contoh terbaik kepada setiap umat manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 8:34 AM