TENGKU Permaisuri Norashikin menggesa PBT  khususnya di Selangor agar memperbaiki dan menaiktaraf tatacara pengurusan di pusat kurungan anjing dan kucing. FOTO Ihsan Selangor Royal Office.
TENGKU Permaisuri Norashikin menggesa PBT khususnya di Selangor agar memperbaiki dan menaiktaraf tatacara pengurusan di pusat kurungan anjing dan kucing. FOTO Ihsan Selangor Royal Office.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin bertitah agar usaha ke arah memelihara kebajikan dan mengurangkan bilangan haiwan terbiar ini dipergiatkan menerusi kempen Create Caring and Compassionate Communities (CCC).

Baginda bertitah, usaha berkenaan termasuk memperkasa semula kerjasama di antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penduduk taman perumahan terbabit.

"PBT dengan kerjasama SPCA mengendalikan sesi Responsible Pet Ownerships (RPO) bersama penduduk selain menyediakan jadual lawatan berkala oleh SPCA dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) ke pusat kurungan haiwan terbiar.

"Selain itu, menempatkan pegawai kebajikan haiwan bersama pencinta haiwan di setiap zon daerah, seterusnya melatih mereka untuk menggalakkan pengkasian (neuter) haiwan terbiar di bawah kempen SFS," titah baginda menerusi hantaran di akaun Facebook Selangor Royal Office, hari ini.

Baginda turut mencadangkan agar pihak berkenaan mendapatkan khidmat nasihat dan pemantauan daripada SPCA dan NGO sekiranya pendekatan untuk melupuskan haiwan terbiar ini terpaksa dilakukan.

"Baginda juga berharap usaha menjaga kebajikan haiwan terbiar ini akan berterusan dan tidak sekadar melepas batuk di tangga sahaja.

"Di samping tanggungjawab yang harus dilaksanakan oleh pihak berwajib, baginda juga mahu setiap ahli masyarakat menggalas peranan yang lebih signifikan khususnya dalam memupuk perasaan sayangkan haiwan dan prihatin dengan keadaan sekeliling," titah baginda.

Tengku Permaisuri Norashikin turut menzahirkan rasa dukacita dan kecewa susulan tular gambar dan video anjing terbiar yang terabai di pusat kurungan anjing di negeri ini.

Baginda menggesa PBT khususnya di Selangor memperbaiki dan menaik taraf tatacara pengurusan di pusat kurungan anjing dan kucing kendalian mereka.

Sebagai Penaung Diraja bagi kempen Stray Free Selangor (SFS) kendalian SPCA Selangor, baginda mahu pihak berwajib meneliti semula pendekatan baharu yang lebih holistik dalam menguruskan pusat kurungan haiwan terbiar ini.

"Menyedari anjing terbiar yang ditempatkan di pusat ini kebanyakannya tidak terurus dan kurang nutrisi, prosedur operasi standard (SOP) harian yang sedang diguna pakai, disemak semula.

"Jika SOP ketika ini terbukti berkesan, tidak sepatutnya tular video yang menunjukkan anjing berkenaan seolah-olah teraniaya, terabai dan tidak terurus," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 7:28 PM