Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM4.3 juta selepas menahan tiga lelaki dalam dua serbuan berasingan di Kepong, di sini, serta Seri Kembangan, Selangor, pada 8 dan 9 Januari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamuruddin berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun di Kepong jam 4.30 petang pada 8 Januari lalu.

"Dalam serbuan itu, kami merampas dadah jenis methaphetamin seberat 1,030 gram, 1,155 pil erimin 5, ekstasi (192 gram), sebuah Toyota Vios dan wang tunai berjumlah RM400.

"Polis seterusnya menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 20 tahun di Seri Kembangan jam 7.45 malam pada 9 Januari lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Saiful Azly berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya membuat serbuan di sebuah residensi di Seri Kembangan yang membawa kepada penemuan beberapa jenis dadah dan wang tunai.

"Kami menemui dadah jenis methaphetamin seberat 680 gram, 158,500 pil erimin 5 (48,250 gram), ekstasi (3,710 gram), serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) (21,210 gram), cecair MDMA (12,500 milimeter), 100 batang rokok ganja (80 gram) dan ketamin (8,920 gram).

"Selain itu, kami merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan wang tunai berjumlah RM53,800.

"Hasil keseluruhan rampasan dadah, wang tunai dan kenderaan dalam serbuan ini dianggarkan bernilai RM4.5 juta, manakala keseluruhan dadah itu boleh dibekalkan kepada 195,480 pengguna," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati semua suspek berkenaan aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lalu.

SAIFUL Azly (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Saifullizan Tamadi
SAIFUL Azly (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Saifullizan Tamadi

"Hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap tiga suspek terbabit didapati negatif dadah dan semakan mendapati mereka tiada rekod jenayah.

"Semua suspek direman selama tujuh hari sehingga 15 Januari nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 2:03 PM