ANUAR menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di apartmen di Bandar Bukit Jalil, 16 Mei lalu. FOTO ihsan polis
ANUAR menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di apartmen di Bandar Bukit Jalil, 16 Mei lalu. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan penahanan empat individu dan merampas dadah bernilai RM204,943 dalam serbuan di apartmen di Bandar Bukit Jalil, Cheras, di sini, 16 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, dalam serbuan jam 12.30 tengah malam itu, pasukan operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menahan tiga lelaki serta seorang wanita berusia 28 hingga 45 tahun.

Menurutnya, polis merampas dadah disyaki syabu seberat 5,182 gram, serbuk MDMA (anggaran berat 299.4 gram), pil Erimin 5 (anggaran berat 0.3 gram), pil ekstasi (anggaran berat 5.7 gram), Lysergic Acid Diethylamide (sekeping) dan ketamin (anggaran berat 0.6 gram).

"Ujian saringan awal mendapati suspek positif methamphetamine.

"Polis turut merampas Mercedes Benz bernilai RM180,000, Honda City (RM18,000), Perodua Alza (RM25,000), mata wang asing, telefon bimbit pelbagai jenama dengan nilai sitaan RM223,058 bersama rampasan wang tunai RM165," katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuar berkata, nilai keseluruhan rampasan adalah RM428,166 malah semakan mendapati keempat-empat suspek mempunyai rekod lampau dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan dengan kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 10,600 penagih," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenalpasti ahli sindiket yang terbabit dan sumber bekalan yang diperolehi.

"Hasil tangkapan terbabit, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan bagi pasaran Lembah Klang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 11:57 AM