Asrol Awang


Kuantan: Empat individu ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes pengedaran dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM402,411 di Temerloh, 2 dan 3 Januari lalu.

Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam serbuan pertama, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Temerloh menahan pasangan kekasih berumur 35 dan 41 tahun yang berada di dalam bilik sewa di Taman Dahlia, Temerloh pada 11 malam, 2 Januari lalu.

Katanya, hasil siasatan lanjut, polis merampas sembilan paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki heroin seberat 60.67 gram dan enam paket lutsinar disyaki dadah jenis syabu 7.76 gram.

"Hasil ujian saringan awal terhadap dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis morfin dan masing-masing mempunyai lima dan tujuh rekod lampau berkaitan dadah.

"Susulan penahanan pasangan terbabit, polis melakukan serbuan kedua pada 12.15 tengah malam, 3 Januari lalu di taman sama dan berjaya menahan suami isteri berumur 35 dan 36 tahun.

"Penahanan itu menemukan dua paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin seberat 41.01 gram dan satu paket plastik lutsinar jenis syabu seberat 25.85 gram.

"Hasil ujian saringan awal terhadap kedua-dua suspek negatif tetapi masing-masing mempunyai satu dan dua rekod berkaitan dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini.

Ramli berkata, dengan penahanan itu, seorang suspek membawa sepasukan polis ke rumah di Jalan Batu 6, Temerloh yang membawa kepada rampasan dadah lebih besar pada 5 pagi, 3 Januari lalu.

Katanya, rampasan itu membabitkan dadah jenis syabu seberat 1,068.79 gram, 29 paket dadah jenis syabu seberat 729.28 gram dan 17 paket plastik lutsinar jenis heroin seberat 129.18 gram.

"Satu beg kain berzip berwarna hitam mengandungi dadah jenis heroin seberat 2,350.18 gram dan 10 papan pil erimin seberat 26.99 gram, tiga paket heroin seberat 1,359.25 gram dan syabu seberat 658.40 gram serta 53 jenis barang kemas dan wang tunai RM24,000 dan selaras senapang patah tanpa peluru.

RAMLI (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Asrol Awang
RAMLI (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Asrol Awang

"Bagi kes senapang patah, kes ini disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan jika sabit kesalahan akan dipenjara lebih melebihi satu tahun penjara atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

"Jumlah nilai keseluruhan rampasan dadah dan harta ialah RM792,058 iaitu dadah jenis syabu, heroin dan erimin berjumlah RM402,411 manakala nilai sitaan harta RM389,647.50 termasuk wang tunai RM24,000, akaun bank (RM77,647.50), barang kemas (RM160,000), sebuah pacuan empat roda (RM120,000) dan sebuah motosikal (RM8,000).

"Mereka kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula 3 Januari lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

"Sindiket ini dipercayai memperolehi bekalan dadah jenis heroin dan syabu dari Lembah Klang untuk diedarkan di kawasan Felda di sekitar Temerloh Kuantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 11:39 AM