DATUK Saiful Azly pada sidang akhbar mengenai beberapa kes jenayah yang berjaya ditumpaskan oleh polis Kuala Lumpur di IPKKuala Lumpur. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
DATUK Saiful Azly pada sidang akhbar mengenai beberapa kes jenayah yang berjaya ditumpaskan oleh polis Kuala Lumpur di IPKKuala Lumpur. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kegiatan bekas suami isteri yang dipercayai mengedar dadah di sekitar Lembah Klang terbongkar selepas mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di sebuah kondominium di Cheras, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 66 tahun di tempat letak kereta kondominium berkenaan jam 5.30 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan dilakukan terhadap lelaki berkenaan, pihak polis merampas dadah disyaki jenis ketamin seberat 16.5 gram.

"Hasil soal siasat dilakukan, kami pergi ke sebuah rumah di kondominium berkenaan dan menahan seorang wanita tempatan berusia 45 tahun jam 7.10 malam, hari sama.

"Pemeriksaan dilakukan di kediaman itu menemui beberapa jenis dadah iaitu ketamin seberat 5,635 gram, serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 29,032 gram serta cecair MDMA seberat 31,350 milimeter.

"Malah, kami juga menemui 1,000 pil Erimin 5 seberat 309 gram serta 1,900 pil ekstasi seberat 632 gram di dalam sebuah kereta Proton Wira ketika pemeriksaan dilakukan di tempat letak kenderaan di kondominium terbabit jam 8.30 malam, hari sama," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Saiful Azly berkata, semua dadah dirampas itu dianggarkan bernilai RM2.15 juta dan boleh dibekalkan kepada 39,000 pengguna.

"Dalam serbuan itu juga, kami menyita sebuah kenderaan dianggarkan bernilai RM5,000 serta wang tunai berjumlah RM4,700.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek pernah berkahwin, namun bercerai. Mereka aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah jenis serbuk MDMA, ketamin, ekstasi dan erimin 5 di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lalu," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati suspek wanita positif dadah jenis methaphetamin, manakala suspek lelaki pula negatif dadah.

"Semakan juga mendapati suspek wanita berkenaan mempunyai rekod berkaitan kes dadah.

"Kedua-dua suspek berkenaan direman selama enam hari bermula 15 hingga 20 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 2:42 PM