DADAH yang dirampas dalam serbuan tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan di tempat letak kereta di sebuah residensi di Taman Mastiara, Kuala Lumpur, 17 Disember lalu. FOTO Ihsan PDRM
DADAH yang dirampas dalam serbuan tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan di tempat letak kereta di sebuah residensi di Taman Mastiara, Kuala Lumpur, 17 Disember lalu. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai mengedar dadah di sekitar Lembah Klang dalam serbuan di parkir sebuah residensi di Taman Mastiara, di sini, 17 Disember lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 43 tahun terbabit pada 5.20 petang.

"Hasil pemeriksaan, kami merampas serangkai kunci mengandungi enam anak kunci. Soal siasat dilakukan terhadap suspek membawa kepada pemeriksaan di sebuah rumah di Taman Mastiara pada hari sama.

"Pemeriksaan di dalam rumah itu menemui dadah disyaki serbuk methylenedioxy- methamphetamine (MDMA) seberat 2,162 gram, erimin 5 (660 gram), ekstasi (488 gram) dan ketamin (48 gram) dianggarkan bernilai RM134,120," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adnan berkata, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM300.

"Siasatan awal mendapati suspek aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah jenis serbuk MDMA, ekstasi, erimin 5 dan ketamin di sekitar Lembah Klang.

"Ujian awal saringan air kencing dilakukan terhadap suspek didapati positif methaphetamin. Semakan juga mendapati suspek mempunyai rekod berkaitan dadah.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 8:55 PM