ANTARA dadah yang dirampas dalam serbuan tangkapan membabitkan sepasang kekasih di Jalan Sri Sentosa, Kuala Lumpur, Jumaat lalu. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA dadah yang dirampas dalam serbuan tangkapan membabitkan sepasang kekasih di Jalan Sri Sentosa, Kuala Lumpur, Jumaat lalu. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kegiatan sepasang kekasih yang dipercayai mengedar dadah di sekitar Lembah Klang terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan di Jalan Sri Sentosa, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun bersama kekasihnya yang juga wanita warga Vietnam berusia 26 tahun di lokasi berkenaan pada jam 12.30 tengah hari.

"Pemeriksaan lanjut di sebuah kondominium yang disewa suspek di Puchong Jaya membawa kepada rampasan serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 4,054 gram, methaphetamin (6.16 gram), ketamin (11.19 gram) dan wang tunai berjumlah RM540.

"Nilai rampasan dadah berkenaan yang boleh dibekalkan kepada 4,072 pengguna serta sitaan wang tunai dalam serbuan itu adalah RM245,515," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Adnan berkata, hasil saringan awal dilakukan terhadap kedua-dua suspek didapati mereka positif dadah jenis ketamin.

"Semakan mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod jenayah manakala suspek kedua tidak mempunyai rekod jenayah.

"Kedua-dua suspek direman bermula 17 April lalu hingga hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan," katanya.

Menurutnya, dengan tangkapan itu, pihaknya berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi oleh individu tempatan dan warga asing yang dikesan aktif selama tiga bulan di sekitar Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 8:31 PM